Kuala Lumpur: Atas faktor jualan tiket tidak mencapai sasaran, Konsert Isyana Sarasvati Live in Kuala Lumpur yang sepatutnya diadakan di Zepp KL, di sini, pada 17 Julai ini, dibatalkan.
Pembatalan konsert berkenaan diumumkan penganjur, Redrose Entertainment dan Vault Vision Agency melalui kenyataan rasmi yang dimuat naik dalam media sosial, semalam.
Penganjur antara lain menyebut keputusan membatalkan konsert itu dibuat selepas pertimbangan teliti berikutan jualan tiket semasa tidak mencapai jumlah minimum yang diperlukan.
“Selepas pertimbangan teliti, kami membuat keputusan sukar untuk tidak meneruskan acara ini kerana tahap jualan tiket semasa tidak mencapai jumlah yang diperlukan bagi menganjurkan persembahan itu,” katanya.
Dalam kenyataan sama, penganjur mengakui ia pasti mengecewakan peminat terutama mereka yang sudah membeli tiket serta membuat pelbagai persiapan untuk menghadiri konsert berkenaan.
“Kami memahami ramai yang meluangkan masa, mengatur perjalanan dan menantikan peluang berkongsi malam istimewa bersama Isyana.
“Sokongan, semangat dan komitmen yang diberikan amat bermakna buat kami. Kami amat menghargai setiap usaha yang dilakukan untuk menjadi sebahagian daripada persembahan ini,” katanya.
Justeru, Redrose Entertainment dan Vault Vision Agency memohon maaf atas kekecewaan serta kesulitan yang timbul susulan pembatalan berkenaan.
Menurut penganjur, semua pemegang tiket akan menerima maklumat lanjut berhubung proses bayaran balik menerusi e-mel daripada platform penjualan tiket dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Sementara itu, Isyana menerusi hantaran di Instagram (IG) meluahkan rasa kecewa dengan pembatalan konsert berkenaan.
Menurutnya, dia berharap diberi peluang untuk kembali menghiburkan peminatnya di Malaysia pada masa depan.
“Saya tahu ramai yang menantikan konsert ini dan saya juga kecewa sama seperti kalian. Saya memohon maaf kerana mengecewakan kalian.
“Saya berharap diberi peluang untuk menebus kekecewaan ini dan dapat bertemu kalian di Kuala Lumpur suatu hari nanti. Terima kasih atas kefahaman dan kasih sayang kalian,” katanya
© New Straits Times Press (M) Bhd




