Beban NCD cecah RM64.2 bilion setahun

Beban NCD cecah RM64.2 bilion setahun

JOHOR BAHRU – Beban penyakit tidak berjangkit (NCD) di Malaysia yang dianggarkan mencecah RM64.2 bilion setahun menuntut pendekatan lebih menyeluruh dalam usaha mencegah risiko kesihatan awam.

Perkara itu antara yang diketengahkan ketika Malaysia menjadi tuan rumah Persidangan Asia-Pasifik Kesihatan Awam Ke-9 (APCPH 2026) apabila pakar berpandangan pendekatan berasaskan bukti yang berjaya mengawal penularan HIV wajar dijadikan model dalam menangani pelbagai cabaran kesihatan awam lain.

Pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid berkata, krisis penyakit tidak berjangkit bukan lagi sekadar isu kesihatan, sebaliknya turut memberi kesan besar kepada ekonomi negara.

“Beban NCD di Malaysia dianggarkan mencecah RM64.2 bilion setahun, meliputi RM12.4 bilion kos penjagaan kesihatan dan RM51.8 bilion akibat kehilangan produktiviti.

“Setiap kes diabetes, strok, penyakit jantung atau kegagalan buah pinggang yang berjaya dicegah bermakna produktiviti dapat dikekalkan, pendapatan isi rumah dilindungi dan perbelanjaan kerajaan pada masa hadapan dapat dikurangkan,” katanya dalam satu wacana sempena Persidangan Asia-Pasifik Kesihatan Awam Ke-9 (APCPH 2026) pada Isnin.

Beliau berkata, laporan Malaysia NCD Investment Case turut menganggarkan langkah pencegahan yang terbukti berkesan mampu menjana manfaat ekonomi sehingga RM30 bilion dalam tempoh 15 tahun serta menyelamatkan lebih 180,000 nyawa.

Katanya, usaha mengurangkan pengambilan garam sahaja dianggarkan mampu memberikan pulangan sekitar RM60 bagi setiap RM1 yang dilaburkan.

Antara panel terlibat dalam wacana sempena Persidangan Asia-Pasifik Kesihatan Awam Ke-9 pada Isnin.

Antara panel terlibat dalam wacana sempena Persidangan Asia-Pasifik Kesihatan Awam Ke-9 pada Isnin.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Profesor Emeritus Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, kejayaan Malaysia mengurangkan penularan HIV membuktikan pendekatan pengurangan kemudaratan bukan sahaja melindungi individu, malah keluarga dan komuniti.

Menurutnya, pengalaman negara menunjukkan usaha mengurangkan penularan HIV dalam kalangan individu yang menyuntik dadah turut mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan serta menghalang jangkitan daripada terus merebak kepada masyarakat.

“Prinsip sama boleh diterapkan dalam menangani cabaran seperti kemudaratan berkaitan alkohol, pemakanan tidak sihat, pengambilan gula berlebihan dan merokok.

“Apabila risiko masih berterusan atau individu beralih kepada produk yang tidak dikawal selia, pendekatan kesihatan awam perlu terus menawarkan penyelesaian praktikal yang mengurangkan kemudaratan serta menghubungkan masyarakat dengan perkhidmatan penjagaan kesihatan,” katanya.

Presiden Harm Reduction Action Network (HARAN), Dr Anita Suleiman pula berkata, kejayaan Malaysia dicapai apabila bukti saintifik diterjemahkan kepada perkhidmatan yang mudah diakses masyarakat.

Katanya, pendekatan pengurangan kemudaratan, rawatan ketagihan, ujian HIV, terapi antiretroviral dan program jangkauan komuniti membolehkan pelbagai intervensi berasaskan bukti dilaksanakan secara konsisten.

Menurutnya, berdasarkan Laporan Pemantauan AIDS Global Kementerian Kesihatan Malaysia, kos tahunan pengurusan HIV menurun daripada kira-kira RM200 juta kepada RM80 juta.

“Penurunan ini merupakan hasil pelaburan dalam pencegahan, rawatan awal dan intervensi berasaskan komuniti.

“Analisis yang disokong oleh Bank Dunia turut menganggarkan Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan (NSEP) serta Terapi Penyelenggaraan Metadon (MMT) berjaya mencegah lebih 12,600 jangkitan HIV dan menjimatkan RM47.1 juta kos penjagaan kesihatan.

“Jika liputan program diteruskan, lebih 23,000 jangkitan baharu dijangka dapat dicegah dengan penjimatan sekitar RM210 juta dalam tempoh sedekad,” katanya.

Sementara itu, pakar kesihatan awam antarabangsa, Profesor Mark Tyndall berkata, pengalaman Malaysia selari dengan kejayaan beberapa negara seperti Kanada, Switzerland, Portugal dan Australia yang melaksanakan strategi pengurangan kemudaratan secara menyeluruh.

Menurutnya, pendekatan berasaskan bukti itu terbukti mampu mengurangkan penularan HIV, kematian akibat dos berlebihan serta pelbagai kemudaratan berkaitan dadah melalui pencegahan, rawatan, pengawalseliaan serta penglibatan komuniti.

“Malaysia turut membuktikan pendekatan pengurangan kemudaratan boleh berjaya dilaksanakan dalam konteks Asia.

“Semakin awal risiko dikurangkan, semakin banyak nyawa dapat diselamatkan dan semakin rendah kos jangka panjang kepada masyarakat,” katanya.

 

Scroll to Top