Sakilla Hanis, ibu berjuang bersama lawan barah, penyakit kronik

Sakilla Hanis, ibu berjuang bersama lawan barah, penyakit kronik

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Klang: Dua beranak ini berkongsi derita yang sama kerana masing-masing berjuang melawan barah payudara tahap tiga juga empat selain penyakit kronik.

Sakilla Hanis Mohamed, 48, disahkan menghidap barah payudara pada Disember 2024 sebelum diserang kanser ovari tahap dua tidak lama kemudian.

Manakala ibunya, Faridah Atan, 69, yang kini tidak kuat berjalan diuji dengan barah payudara tahap pada Disember tahun lalu selain diabetes juga penyakit buah pinggang kronik atau ‘Chronic Kidney Disease’ (CKD) tahap lima.

Menceritakan kisah itu, Sakilla Hanis yang berstatus ibu tunggal kepada tiga anak berkata, dia asalnya sihat malah pernah bekerja sebagai kontraktor selain membuka kedai makan sebelum ini.

Bagaimanapun, kehidupannya berubah 180 darjah selepas jatuh sakit hingga terpaksa menutup kedai makan selain menjual peralatan niaga juga kereta pacuan empat roda miliknya bagi menampung kos rawatan.

“Ketika mula dapat tahu menghidap barah tak rasa apa mungkin sebab sudah terlalu lama menjadi ibu tunggal tapi ketenangan itu tak lama selepas diserang gangguan kebimbangan (anxiety) yang teruk hingga patah semangat selepas menjalani pusingan ketiga kemoterapi.

“Sampai satu tahap, saya tak boleh dengar perkataan mati dan pernah juga ada rasa marah hingga persoalkan ujian yang Allah SWT beri.

“Tapi saya cuba muhasabah dengan positifkan diri dan buang segala pemikiran negatif hingga lama kelamaan, saya berdamai dengan takdir. Bila difikirkan semula, saya yakin pasti ada kemanisan yang Allah SWT nak beri di kemudian hari nanti di sebalik ujian diberi,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Kampung Sungai Udang, di sini.

Bercerita lanjut, Sakilla Hanis mengakui berat hati untuk menutup kedai makan diusahakan pada tahun lalu namun terpaksa kerana masalah kesihatan memaksanya memberi tumpuan kepada rawatan di hospital.

Meskipun sudah menjalani enam pusingan kemoterapi dan 15 sesi radioterapi, Sakilla Hanis masih belum bebas sepenuhnya daripada barah.

Katanya, doktor juga tidak memberi jaminan buat ibunya yang sudah menjalani 10 pusingan kemoterapi di Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya.

“Apa pun berlaku, saya kena kuat dan hidup perlu diteruskan kerana ada tanggungjawab membesarkan tiga anak yang belajar dengan yang bongsu akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Lagipun sejak berpisah dengan suami (18 tahun lalu), saya yang tanggung anak jadi kena cari duit dengan kemahiran yang ada iaitu mengambil semula tempahan membuat biskut bermula tahun ini.

“Selain menyara anak, saya perlu duit bagi membeli bekalan ubat yang harganya hampir RM1,300… tapi sudah dua bulan tak ambil kerana duit yang ada perlu dahulukan buat anak.

“Nak ke hospital pula tiada kenderaan hingga terpaksa sewa kereta dengan anggaran RM400 seminggu memandangkan tarikh temujanji saya dengan emak tak sama,” katanya yang mempromosikan biskut jualan di media sosial dan kini hanya bergantung dengan bantuan bulanan sebanyak RM500 sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Sakilla Hanis berkata, kekuatannya datang daripada emak dan anak juga rakan terutama dalam kalangan komuniti penghidap barah.

Sebagai ibu, dia juga bersyukur kerana anaknya memahami walaupun ada ketikanya tidak menzahirkan dengan perbuatan juga kata-kata.

“Saya anggap ujian yang hebat ini sebagai ‘nikmat’ tak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Jujurnya saya tak pernah berdoa untuk sembuh tapi minta kepada Allah SWT semoga emak yang pergi dahulu kerana tak boleh bayangkan macam mana emak nak meneruskan kehidupan tanpa saya.

“Ia kerana saya yang menjaganya ketika ini walaupun anak ada bantu. Tapi kita hanya merancang dan Allah SWT yang menentukan.

“Apa pun, saya akan terus menjaga emak selagi bernyawa dan mungkin tiada jodoh nak berkahwin lagi kerana Allah SWT nak beri kesempatan menjaga syurga saya,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam bernombor 12038025462785 atas nama Sakilla Hanis Mohamed.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top