Jaga hubungan baik, PM Anwar minta contohi MB Pahang -“Patut negeri-negeri lain belajar”

Jaga hubungan baik, PM Anwar minta contohi MB Pahang  -“Patut negeri-negeri lain belajar”

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang disifatkan berjaya mengekalkan hubungan baik dan kerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan.

Jaga hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan

Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, beliau menyatakan, pendekatan itu wajar dicontohi oleh negeri-negeri lain kerana memudahkan urusan pembangunan serta kebajikan rakyat.

“Hendak pilih Menteri Besar macam inilah, senang kita kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ini kena hubungannya baik. Jadi senang dia minta apa-apa saya boleh pertimbang.
“Ini contoh Pahang ini patut negeri-negeri lain belajar, yang faham, faham, yang tak faham sudah. Hormat, kerjasama baik, ada setuju, ada tidak setuju. Sentiasa berunding,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka 2026 dan 70 Tahun Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka.

Dalam ucapannya, Anwar turut menzahirkan rasa syukur kerana sambutan Hari Peneroka tahun ini diadakan di Felda dan bukannya di Kuala Lumpur seperti kebiasaan.

Beliau mengaskan keputusan itu dibuat bagi menghargai sejarah penubuhan Felda serta memberi peluang kepada lebih ramai warga peneroka menikmati sambutan berkenaan.

“Pertama, anak bangsa yang peka tentang sejarah akan kenang budi pemimpin-pemimpin ulung yang berjasa dan berkhidmat. Dan saya syukur alhamdulillah, kerana bersama-sama di Jengka, Dewan Tun Abdul Razak, pengasas, pejuang bangsa dan negara yang gagah, bukan sahaja mengasaskan Felda, tapi mengangkat martabat rakyat terutamanya Melayu Bumiputera.
“Saya percaya sambutan ini sama hebatnya. Saya mengarahkan Felda supaya tidak meneruskan sambutan besar-besaran di Kuala Lumpur seperti biasa, harus pindah ke lapangan,” katanya.

Menurut beliau, penganjuran sambutan di kawasan Felda juga mampu memberi manfaat ekonomi kepada penduduk setempat selain menjimatkan kos kerajaan.

Sumber: Utusan Malaysia (Mohamad Shofi Mat Isa)

Scroll to Top