SHAH ALAM – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menafikan dakwaan beliau memiliki kereta Mercedes selepas menjadi sasaran serangan di media sosial.
Beliau berkata, serangan itu tercetus susulan laporan di Facebook dan TikTok Harakahdaily mengenai ketibaannya ke Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pas Kawasan Gombak, dua hari lalu.
Menurutnya, kenderaan Mercedes yang dilihat dinaiki ketika tiba di lokasi program itu bukan miliknya, sebaliknya kepunyaan seorang ahli Pas Kawasan yang digunakan untuk membawanya dari Pejabat Pas Hulu Klang ke majlis berkenaan.
Ahmad Fadhli berkata, beliau bertolak dari Kota Bharu ke Gombak dengan menaiki bas Naza Ekspress pada jam 11 malam di tempat duduk 8A sebelum tiba di Terminal Bersepadu Gombak (TBG) pada jam 5.30 pagi.
“Urus setia datang menjemput saya dan membawa saya ke Pejabat Pas Hulu Klang untuk bersiap serta bersarapan sebelum bergerak ke lokasi program.
“Kereta tersebut milik ahli Pas Kawasan dan hanya digunakan untuk membawa saya dari Pejabat Pas ke lokasi program,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.
Beliau berkata, penggunaan bas ekspres merupakan antara pengangkutan yang lazim digunakan oleh sebahagian Ahli Parlimen Pas ketika sidang berlangsung, selain kapal terbang atau kereta api bagi perjalanan ke utara.
Jelasnya, kenderaan peribadi ditinggalkan di Kuala Lumpur kerana kaedah itu lebih menjimatkan masa dan tenaga, selain membolehkan kewangan digunakan untuk urusan lain yang lebih memerlukan.
Beliau berkata, pada asalnya tidak berhasrat mendedahkan perkara itu kerana menganggap ia bukan sesuatu yang wajar dibanggakan.
“Tapi jika nak kata kami bermewah-mewah guna kereta peribadi yang mahal, itu peluru kapur lah… cuba lagi,” tambahnya.



