Penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam mengesahkan beliau dimaklumkan mengenai penahanan seorang pelakon wanita drama Gerak Khas 2.0 yang disyaki positif dadah methamphetamine dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di ibu negara.
Sudah maklum tentang penahanan pelakon wanita
Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, beliau menyatakan sebelum ini sudah beberapa kali mengingatkan pelakon terbabit agar menjaga tingkah laku dan imej memandangkan memegang watak sebagai anggota polis.
“Saya sudah beri amaran, jangan ‘expose’ diri, pergi kelab dan sebagainya kerana dia berlakon watak polis,” ujarnya.

Pergi karaoke sudah menjadi rutin
Yusof mendedahkan, beliau bukan sahaja mengetahui rutin pelakon tersebut, malah telah dua kali memberikan nasihat supaya mengurangkan kunjungan ke pusat hiburan kerana bimbang boleh mencemarkan imej drama yang diterbitkannya.
“Saya menasihatkan dia, jika hendak pergi kelab malam, karaoke dan sebagainya itu hak dia, tetapi berpada-pada kerana dia terlibat Gerak Khas 2.0.
“Saya tahu pergi karaoke itu memang rutin dia, namun kurang-kurangkan kerana dia membawa watak seorang polis.
“Apa pun amaran itu tidak diendahkan dan akhirnya membinasakan.
“Saya amat menjaga imej Gerak Khas dan tak mahu ianya tercalar. Bukanlah kita ini sempurna tapi sekurang-kurangnya saya tak mahu imej polis itu tercemar,” katanya lagi.

Terdahulu, seorang pelakon wanita yang membintangi drama kepolisan ditahan bersama 17 individu lain dalam serbuan yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sebuah pusat hiburan di ibu negara selepas disyaki positif dadah methamphetamine.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam sebelum ini mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes masih dalam siasatan.
Sumber: Utusan Malaysia (Al Faizal Abdul Karim)




