NAMPAKNYA suasana di negeri selatan Semanjung, Johor Darul Takzim sedang rancak dengan kempen untuk menarik perhatian pengundi. Pelbagai kaedah digunakan dalam usaha memujuk pengundi untuk memberikan undi kepada seseorang calon.
Sudah tentu suasana sebegini turut membabitkan bentuk penyampaian idea, pelan perancangan dan agenda calon dan parti yang bertanding disampaikan atas pentas ceramah. Sistem demokrasi berparlimen yang menjadi amalan di negara kita membolehkan ceramah politik untuk meraih undi di pentas politik seharusnya digunakan dengan sebaiknya.
Ini masanya seseorang calon mempamerkan karakter sebagai pemimpin berwibawa dan setiap tutur ucapan bukan sahaja sedap telinga mendengarnya, tetapi dalam masa sama ia mengandungi idea-idea yang bernas untuk dihayati oleh orang ramai yang hadir.
Masyarakat di negara kita hari ini sudah jauh berbeza dengan senario pada tahun-tahun awal negara kita mencapai kemerdekaan dahulu. Masyarakat hari ini bukan semata-mata mahu menyaksikan seseorang yang berada di pentas hebat berceramah dengan suara yang lantang, berkumandang dengan pelbagai variasi intonasi suara.
Masyarakat kita hari ini sudah celik dan bijak menilai setiap aspek. Seperkara yang amat menggusarkan kita sejak kebelakangan ini ialah fenomena menabur fitnah, memberikan label yang kurang baik, mencemarkan imej dan maruah pihak lawan, malah sehingga ada yang tanpa segan malu berucap dengan butiran kata yang kasar.
Keadaan itu seolah-olah pentas politik sudah dinormalisasikan dengan amalan budaya berpolitik yang jauh bertentang dengan nilai adab dan akhlak Islam. Biarpun seseorang itu ingin memujuk hati pengundi, tetapi aspek adab dan akhlak masih terpakai dan perlu dipakai sebagai karakter peribadi.
Siapa pun kita, apatah lagi mereka yang mahu menjadi seorang ‘pemidato’ di pentas politik bahawa setiap kata diucap, ada malaikat mencatatnya. Tidakkah kita yakin dengan firman Allah sebagaimana terkandung dalam Surah Qaf ayat 18 yang bermaksud, “Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatat).”
Ayat ini sudah cukup untuk menginsafkan kita dalam menggunakan pancaindera lidah. Usah mudah melemparkan kata, kerana yang buruk, kasat dan kesat akan menjadi simpanan dalam buku amalan yang dicatatkan malaikat. Orang yang bijak dan beriman sentiasa memelihara lidahnya kerana ia mencerminkan ketinggian akhlak, akal dan iman seseorang.
Baginda Nabi SAW juga ada memperingatkan diri kita supaya bijak dan berhati-hati dalam bertutur kata. Ini kerana kebijakan seseorang Mukmin bukan sahaja dia memelihara aspek menunaikan ibadat fardu seperti solat dan puasa sahaja, sebaliknya ia juga perlu memiliki akhlak lidah yang mematuhi adab dan nilai Islam. Pesan Baginda SAW, “Seseorang yang beriman itu bukanlah daripada golongan yang suka mengaibkan orang lain bukan daripada golongan yang melaknat orang lain, bukan daripada golongan yang suka mencarut dan bukan juga daripada golongan yang suka yang suka berkata-kata keji dan buruk.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Lidah perlu dijinakkan dengan nilai Islam. Usah dibiarkan lidah menjadi ‘haiwan liar’ yang sewenang-wenangnya mengganas. Lidah sememang tidak bertulang, mungkin atas sebab itu dengan senang manusia melontarkan apa sahaja tanpa mengingatkan diri sendiri bahawa ‘Pada lidah itu ada syurga dan neraka.’
Sewajarnya, kita sentiasa ingatkan diri lidah itu lebih tajam daripada mata pedang. Perumpamaan bijaksana orang Melayu dahulu menekankan supaya kita berusaha hindarkan diri dari mudah menggunakan lidah tanpa menghitung kira kesan di sebaliknya.
Dalam musim pilihan raya sebegini seharusnya seseorang calon kekal membawa watak lidah yang baik supaya dipandang sebagai pemimpin yang berketerampilan unggul. Bawa adab dan akhlak Islam meskipun ketika berada atas pentas ceramah.
Membawa akhlak Islam di pentas ceramah politik bermaksud menuntut pemimpin dan penceramah supaya tidak menjadikan agama sebagai alat sensasi, sebaliknya mempraktikkan nilai siddiq (benar), amanah dan tabligh. Ini memastikan mesej perpaduan dan akhlak murni sentiasa terpelihara.
Di atas pentas ketika berkempen dan berucap, kekuatan iman dan takwa perlu terus dipelihara. Menjadi satu fenomena lazim apabila berkempen seakan-akan tidak lengkap seandainya kata nista dan mengumpat tidak dihamburkan keluar dari kerongkong. Dan yang pelik lagi, khalayak yang hadir sanggup dan tekun mengikutinya.
Sedangkan Allah sudah memperingatkan kita yang antara pesan-Nya, “Wahai orang yang beriman! Jauhilah daripada kebanyakan prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah ada antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain. Apakah ada antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Maksud Surah al-Hujarat ayat 12)
Sepupu Rasulullah SAW yang juga menantunya, Saidina Ali ada berpesan dengan satu nasihat yang perlu kita pegangi yang mana antara lain kata beliau, “Sesungguhnya, seorang hamba akan bercakap dengan satu kalimah yang diredai Allah, sedang dia tidak memberi perhatian bahawa kalimah itu diredai Allah, lalu Allah mengangkatnya beberapa darjat dan sesungguhnya seorang hamba apabila bercakap dengan kalimah yang dimurkai Allah, sedang dia tidak peduli dengan apa yang diperkatakannya, maka Allah masukkannya ke dalam neraka jahanam
Ambil peringatan Saidina Ali ini tatkala berkempen agar setiap tutur kata berbicara tidak mengundang koleksi dosa yang akan memudaratkan diri sendiri di alam akhirat.
Kita berdoa semoga perjalanan sistem demokrasi di negara yang kita cintai ini kekal berlangsung dalam situasi aman dan tenteram tanpa dihantui dengan bibit-bibit kebencian dan perpecahan.
Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah
© New Straits Times Press (M) Bhd




