Fokus saya hanya Perancis – Mbappe

Fokus saya hanya Perancis – Mbappe

Foxborough: Kylian Mbappe mungkin sering dikritik kerana dikatakan terlalu mementingkan diri, namun kapten Perancis itu membuktikan sebaliknya apabila mengetuai Les Bleus memburu gelaran ketiga Piala Dunia.

Penyerang berusia 27 tahun itu berada dalam prestasi terbaik dengan tujuh gol daripada lima perlawanan menjelang aksi suku akhir menentang Maghribi di Stadium Gillette, awal pagi Jumaat ini.

Selepas musim yang sukar bersama Real Madrid apabila dikritik penyokong berhubung komitmennya akibat kecederaan, Mbappe kini kembali mempamerkan sentuhan terbaik di pentas antarabangsa.

Walaupun sudah muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis dan sedang bersaing dengan Lionel Messi dalam perebutan Kasut Emas serta rekod penjaring terbanyak Piala Dunia, Mbappe menegaskan sasaran peribadinya bukan keutamaan.

“Saya tahu orang bercakap mengenai statistik. Saya juga menontonnya di televisyen.

“Tetapi fokus saya hanyalah membantu pasukan dan membawa kami kembali ke sini pada 19 Julai,” katanya selepas kemenangan 3-0 ke atas Sweden pada pusingan 32 terbaik.

Mbappe turut menjaringkan gol kemenangan ketika Perancis menewaskan Paraguay pada pusingan 16 terbaik dalam aksi yang menyaksikannya menjadi sasaran provokasi pemain lawan.

Selepas perlawanan itu, dia turut menjadi mangsa serangan berbaur perkauman oleh seorang ahli politik Paraguay, Celeste Amarilla.

Mbappe membalas dengan menyifatkan ahli politik itu sebagai ‘keji’ dan ‘tidak layak memegang jawatan’, tindakan yang mendapat sokongan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps berkata, persepsi orang ramai terhadap Mbappe tidak menggambarkan keperibadian sebenar pemain itu.

“Ramai menganggap dia seperti seorang diktator, tetapi gambaran terhadap Kylian tidak mencerminkan realiti sebenar.

“Dia seorang pemain luar biasa dan apabila dia bercakap, dia bercakap bagi pihak seluruh pasukan,” katanya.

Deschamps yang akan mengundurkan diri selepas Piala Dunia ini turut mempertahankan keputusannya melantik Mbappe sebagai kapten pada 2023.

“Dia berada dalam satu misi sejak hari pertama,” kata Deschamps yang berharap Mbappe mampu membawa Perancis ke final Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top