London: Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger percaya hanya Sepanyol memiliki kemampuan untuk menghalang Perancis menjulang trofi Piala Dunia.
Perancis yang muncul juara dunia pada 2018 sebelum bergelar naib juara empat tahun kemudian, kini dianggap pilihan utama untuk merangkul kejuaraan edisi kali ini.
Skuad kendalian Didier Deschamps menamatkan saingan Kumpulan I dengan rekod sempurna selepas menjaringkan 10 gol menerusi kemenangan ke atas Senegal, Iraq dan Norway.
Perancis kemudian menewaskan Sweden pada pusingan 32 terbaik sebelum menyingkirkan Paraguay untuk mara ke suku akhir, yang menyaksikan mereka akan berdepan Maghribi.
Dua lagi aksi suku akhir yang sudah disahkan menemukan Sepanyol dengan Belgium, manakala England berdepan Norway.
Juara bertahan, Argentina pula akan bertemu Switzerland pada suku akhir selepas terselamat daripada kejutan sebelum menewaskan Mesir.
Wenger yakin Perancis berada di landasan terbaik untuk menjulang trofi Piala Dunia buat kali ketiga dan menyifatkan Sepanyol sebagai satu-satunya pasukan yang mampu menggagalkan hasrat itu.
Sepanyol diikat tanpa jaringan oleh Cape Verde pada aksi pembukaan Kumpulan H sebelum bangkit mengungguli kumpulan berkenaan.
Juara Eropah itu kemudian membelasah Austria pada pusingan kalah mati pertama sebelum jaringan lewat permainan menyingkirkan musuh tradisi, Portugal.
Anak buah Luis de la Fuente akan menentang Belgium pada aksi suku akhir Jumaat ini sebelum berpeluang bertemu Perancis di separuh akhir.
“Perancis akan menjuarai Piala Dunia. Saya tahu ramai akan berkata, ‘Sudah tentu kamu berkata begitu kerana kamu orang Perancis.’
“Tetapi apabila anda menilai kejohanan ini, rentaknya cukup tinggi dan setiap pasukan perlu mampu mengikutinya.
“Sebagai contoh, pasukan dari Asia tersingkir kerana gagal menandingi intensiti dan tempo permainan. Mereka juga tidak memiliki kualiti teknikal yang mencukupi untuk bersaing.
“Satu-satunya persoalan bagi saya ialah Sepanyol. Jika ada satu pasukan yang mampu menewaskan Perancis ketika ini, saya akan memilih Sepanyol kerana tahap teknikal mereka lebih baik.
“Mereka memiliki kualiti dan budaya permainan berpasukan yang tidak dimiliki mana-mana pasukan lain di dunia pada tahap itu. Itulah yang mungkin menjadi penentu jika kedua-dua pasukan bertemu, namun Perancis tetap lebih kuat dari segi fizikal,” katanya.
Ganjaran buat England selepas kemenangan dramatik ke atas Mexico awal pagi Isnin adalah aksi suku akhir menentang Norway yang sebelum ini menyingkirkan Brazil.
Skuad kendalian Thomas Tuchel juga berpeluang mengelak pertemuan dengan Perancis sehingga ke final sekiranya kedua-dua pasukan mara sejauh itu, namun mereka mungkin berdepan juara bertahan, Argentina pada aksi separuh akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




