Vancouver: Jurulatih Switzerland, Murat Yakin memuji kesabaran serta keberkesanan pemain gantian yang menjadi kunci kejayaan pasukannya menewaskan Colombia menerusi penentuan penalti, sekali gus mara ke suku akhir Piala Dunia.
Switzerland memastikan kemenangan 4-3 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 120 minit permainan.
Penentuan itu memihak kepada Switzerland apabila penjaga gol, Gregor Kobel menyelamatkan sepakan Cucho Hernandez selepas Davinson Sanchez terlebih dahulu menyaksikan sepakannya terkena palang buat Colombia.
Pemain gantian, Ruben Vargas kemudian menyempurnakan sepakan penalti terakhir untuk menghadiahkan kemenangan kepada Switzerland.
Vargas adalah antara beberapa pertukaran yang dilakukan Yakin, termasuk memasukkan Cedric Itten dan Zeki Amdouni pada penghujung babak kedua bagi menyegarkan jentera serangan.
“Ia sukar pada permulaan perlawanan, tetapi kami kekal fokus dan menunjukkan mentaliti yang hebat.
“Selepas itu saya memasukkan pemain yang tepat pada masa yang tepat,” kata Yakin.
Vargas, yang hanya dimasukkan ketika masa kecederaan babak kedua, kekal tenang untuk menyempurnakan penalti kemenangan dan membawa Switzerland ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 1954.
Amdouni, yang turut dimasukkan sebagai pemain gantian, juga berjaya menyempurnakan sepakan penaltinya.
“Sangat menakjubkan melihat dia (Vargas) menyempurnakan sepakan itu. Saya benar-benar lega dan gembira. Kami semakin mendapat rentak dan masih cuba menghadam apa yang berlaku. Ia adalah kemenangan yang luar biasa.
“Kami perlu bersabar, namun hari ini kami mempamerkan prestasi yang sangat baik. Saya amat bangga dengan pemain-pemain saya,” kata Yakin.
Vargas pula berkata dia tidak berasa gementar ketika mengambil sepakan penalti penentuan itu walaupun Switzerland tewas dalam penentuan penalti kepada England pada suku akhir Euro 2024.
“Saya hanya perlu percaya kepada diri sendiri. Saya berasa sangat yakin dan tenang.
“Perasaan itu cukup menakjubkan apabila dapat menjaringkan penalti yang menentukan kemenangan,” katanya.
Switzerland akan membuat perhitungan dengan juara bertahan, Argentina, di suku akhir selepas pasukan Amerika Selatan itu bangkit menewaskan Mesir 3-2 dalam satu lagi aksi pusingan 16 terbaik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




