syazrina@hmetro.com.my
LEBIH empat dekad ‘bergelumang’ dengan dunia muzik, Mohd Kamrulbahri Hussin, 48, atau terkenal dengan nama pentasnya, Kamrul Hussin Wak Long, pernah melalui fasa ‘mengejar pentas,’ mengiringi artis popular, membuat persembahan hampir setiap tahun hingga membawa muziknya ke luar negara.
Baca juga: Hubungan Malaysia dengan AS tidak hadkan keterlibatan dengan negara lain termasuk China – Anwar
Namun, di sebalik kehidupan sebagai tokoh atau pemuzik profesional yang sentiasa bergerak, Pensyarah Kanan Muzik Tradisional di Fakulti Muzik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu akhirnya memilih jalan pendidikan untuk berkongsi ilmu yang dikumpul sepanjang perjalanan seninya.
Pilihan itu bukan bermakna beliau meninggalkan pentas, sebaliknya Mohd Kamrulbahri mula memberi lebih ruang kepada tugas sebagai pendidik, selain terus bergiat sebagai pemuzik dan membangunkan muzik tradisional.
Ketika aktif sebagai pemuzik bebas (freelance), beliau pernah memperoleh sekitar RM500 hingga RM1,000 bagi satu persembahan, selain mengiringi beberapa artis popular dan membuat persembahan di pelbagai pentas.
Sekitar 2006 hingga 2007 pula menjadi antara tempoh paling aktif dalam kerjaya anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu, apabila beliau hampir setiap bulan ke luar negara bagi mewakili Malaysia secara solo atau berkumpulan serta bekerjasama dengan penggiat seni dari lebih 30 negara.
Pengalaman itu termasuk menyertai program persekutuan di University of California, Los Angeles (UCLA), Amerika Syarikat (AS) pada 2006 sebelum menerima pengiktirafan World Master in Art and Culture dalam bidang Muzik Tradisional Melayu dan Kontemporari di Seoul, Korea pada 2007.
Namun, kehidupan yang sentiasa bergerak dari satu persembahan ke persembahan lain akhirnya membuatkan beliau sampai ke satu tahap apabila berasa penat dan tepu dengan perjalanan yang dilalui.
Titik perubahan berlaku pada 2008 apabila Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dinaik taraf kepada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), sekali gus membuka peluang untuk beliau meneruskan kerjaya dalam bidang pendidikan.
Pada ketika itu, salah seorang gurunya, memberikan kata putus supaya beliau mempertimbangkan untuk terus berada dalam dunia pendidikan, meskipun pendapatan sebagai pemuzik bebas ketika itu masih boleh memberikan pulangan lumayan.
“Beliau cakap, kalau fikir budaya wajib di sini (ASK), kalau fikir duit mudah dicari memang tak akan habis,” katanya kepada Harian Metro.
Mohd Kamrulbahri berkata, pendapatan sebagai pemuzik bebas boleh mencecah sekitar RM500 hingga RM1,000 bagi satu persembahan, malah kadang kala lebih bergantung kepada bajet dan artis, namun beliau akhirnya menerima jawatan pensyarah kontrak.
“Jadi, ketika itu, saya terima jawatan sebagai pendidik dan saya fokus dengan ASWARA untuk mengembangkan pengajian, lebih-lebih lagi dalam bidang alat muzik tradisional,” katanya.
Keputusan itu turut mengubah tumpuannya daripada sekadar memenuhi jadual persembahan kepada usaha mengembangkan pengajian dan pembangunan alat muzik tradisional termasuk pengkhususan pergendangan Melayu, serunai, rebab dan instrumen tradisional berkaitan.
Selepas itu, beliau menyambung pengajian peringkat sarjana sastera di bawah Pusat Pengajian Bahasa, Sastera dan Kebudayaan Melayu (BITARA MELAYU), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang pengurusan seni persembahan sebelum meneruskan kerjaya di UiTM Shah Alam sebagai Pensyarah Kanan Muzik Tradisional.
Baginya, menjadi pendidik juga membolehkan pengalaman yang dikumpulkan sepanjang berada di luar negara dikongsi semula kerana terlalu banyak perjalanan sebelum itu menyebabkan ada perkara yang terlepas daripada perhatian.
“Jadi mulalah perjalanan saya sepenuh masa sebagai pendidik, penyelidik, penggiat seni bidang muzik dan seni tradisional warisan pengkhususan alat muzik Pergendangan Melayu, Serunai, Rebab, ensemble wayang kulit, mak yung dan dikir barat.
“Sama-sama mengurangkan beban perjalanan kerana apabila kita terlalu kerap keluar, kita kehilangan banyak perkara yang sepatutnya dapat dikongsikan dengan orang kita termasuk masa bersama keluarga dan peranan saya sebagai seorang bapa, selain terlepas banyak perkara yang berlaku di Malaysia,” katanya.
Kini, selain mengajar, beliau membangunkan muzik tradisional di UiTM termasuk pengurusan alat muzik Malaysia dan orkestra tradisional, manakala pengalaman persembahan serta kolaborasi antarabangsa menjadi sebahagian daripada perspektif yang dibawa ke dalam pengajaran.
Dalam pengajaran, beliau mendedahkan pelajar kepada asas muzik, kemahiran memainkan instrumen, penjagaan dan ruang untuk mereka mengembangkan pengetahuan itu kepada teknik gubahan, penciptaan dan persembahan.
Hasilnya, lebih 100 pelajar setiap semester mendapat pendedahan kepada muzik tradisional Melayu dengan ramai graduan kini berkhidmat sebagai guru muzik, manakala dua pelajar pergendangan Melayu di bawah bimbingannya kini bekerja di Singapura dan mengusahakan syarikat seni sendiri.
Bagi beliau, kepelbagaian ilmu dan kemahiran kekal menjadi asas penting dalam perjalanan seseorang pemuzik tanpa mengira bidang muzik yang diceburi.
“Jadi, kita pergi ke tempat yang menghargai kita, orang yang pandai menilai akan nilai sesuatu benda itu dengan nilai yang tinggi, akhirnya kita lebih dihargai. kita yang kena tahu kembangkan kemahiran, tambah baik kekurangan dan yang paling penting sentiasa cari reda serta niat kerana Allah SWT,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd