Kuala Lumpur: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul mengingatkan Ahli Parlimen supaya mengambil serius pemeriksaan kesihatan berkala, susulan seorang wakil rakyat kini menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Beliau memaklumkan mengenai perkara itu sebelum sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Johari berkata, program pemeriksaan kesihatan Ahli Parlimen akan diteruskan seperti biasa pada tahun ini dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), selepas dilaksanakan secara berterusan sejak 2023 dan kini memasuki tahun keempat.
“Yang Berhormat, sila ambil perhatian dan serius tentang ini. Semalam juga kita mempunyai seorang Ahli Parlimen yang mengalami (masalah) kesihatan yang serius dan kini beliau berada di IJN.
“Pemeriksaan kesihatan ini sangat membantu dalam mengesan sebarang isu berkaitan kesihatan di peringkat awal dan seterusnya membolehkan langkah-langkah pencegahan serta proaktif melalui pengubahsuaian gaya hidup, pengambilan ubat-ubatan atau intervensi perubatan awal yang bersesuaian dengan segera,” katanya.
Johari turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Parlimen yang telah menjalani pemeriksaan kesihatan sepanjang pelaksanaan program itu serta KKM atas sokongan, komitmen dan kerjasama erat dalam melaksanakan program berkenaan.
Menurut laporan media, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami masalah kesihatan ketika berada di Parlimen semalam.
Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu dalam kenyataan memaklumkan, insiden itu berlaku ketika beliau hadir bagi mengikuti sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri serta dijadualkan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Usul Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024.
© New Straits Times Press (M) Bhd




