PRN Johor: Jentera PN digesa pujuk pengundi Melayu elak peratusan rendah – Muhyiddin

PRN Johor: Jentera PN digesa pujuk pengundi Melayu elak peratusan rendah – Muhyiddin

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menggesa semua jentera dan penyokong dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) memainkan peranan memujuk seramai mungkin pengundi terutama kalangan Melayu agar keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia susulan peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Melayu pada pilihan raya lalu amat rendah.

“Saya cuma harap semua menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada 11 Julai ini.

“Saya juga nak ingatkan kalau ikut rekod yang lalu, peratusan pengundi Melayu yang keluar berbanding dengan kaum lain adalah yang terendah.

“Makna terendah itu ialah mereka tak keluar mengundi. Jadi saya mohon kerjasama yang ada di sini untuk beritahu pada semua saudara mara, sahabat handai, kawan kita yang boleh mengundi untuk mengundi calon PN.

“Undilah calon kita terutamanya Dr (Mohamed) Maliki (Mohamed Rapiee),” katanya ketika berucap pada Ceramah ‘Bersatu Demi Johor’ di Bilik Gerakan Utama PN di Parit Raja, dekat sini malam tadi.

Turut hadir, calon BERSATU DUN Parit Raja, Dr Mohamed Maliki.

Pada masa sama, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi PN turut mengingatkan pengundi agar menggunakan hak untuk mengundi calon yang diyakini mampu membawa banyak faedah pembangunan untuk orang Melayu dan rakyat di Johor.

Sementara itu, Muhyiddin turut menjelaskan PN tidak mengumumkan manifesto seperti mana dilakukan gabungan lain terutama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana katanya, tanpa manifesto, PN mampu menyelesaikan masalah rakyat walaupun ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

“Waktu saya jadi Perdana Menteri dulu tak ada manifesto. Dalam manifesto tak sebut pun soal COVID-19.

“Tapi saya dapat menyelesaikan masalah COVID-19 dan kita diiktiraf antara tindakan berkesan yang terbaik di dunia. Jadi, tanpa manifesto, kita tetap beramanah dan bertanggungjawab.

“Bila dah ada tugas dan tanggungjawab, kita kena pikul kerana Allah tuntut kita melaksanakan tugas kita secara yang terbaiknya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top