Pandak guna ‘call centre’ dekati pengundi di DUN Kota Iskandar

Pandak guna ‘call centre’ dekati pengundi di DUN Kota Iskandar

ISKANDAR PUTERI: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad menggerakkan pusat panggilan sebagai langkah terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pandak berkata, perkata itu merupakan pendekatan yang strategik dan efisien untuk menyantuni seramai mungkin pengundi di kawasan DUN yang mempunyai antara jumlah pengundi terbesar di negeri ini.

Katanya, semua jentera kini memfokuskan kepada usaha menghubungi pengundi yang belum sempat ditemui secara bersemuka bagi memastikan tiada pengundi tercicir daripada menerima maklumat.

“Kita masih ada beberapa hari lagi untuk berkempen. Secara fizikal, kita sudah mengadakan walkabout, perjumpaan dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain sesi bersama masyarakat pelbagai kaum.

“Kali ini kita akan gerakkan call centre untuk menyantuni pengundi DUN Kota Iskandar mempunyai lebih 131,000 pengundi dengan latar belakang dan penempatan yang pelbagai seperti kawasan berpagar dan berpengawal, kampung, taman perumahan serta institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya kepada pemberita ketika melakukan walkabout di Taman Nusantara, di sini malam tadi.

Pandak berkata, jenteranya juga akan memperkasa kempen dalam talian serta rangkaian kumpulan komunikasi yang dikenal pasti oleh Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi memastikan mesej kempen sampai kepada pengundi.

“Masa semakin mencemburui kita, kita tidak mahu ada pengundi yang tertinggal atau terlepas pandang. Walaupun seorang pengundi, undinya tetap penting untuk menentukan kemenangan.

“Kita tak boleh ambil mudah, harapnya petunjuk prestasi utama (KPI) yang digariskan oleh Badan Perhubungan UMNO Johor dan BN Iskandar Puteri bagi memastikan kadar keluar mengundi mencapai sasaran khususnya pengundi putih,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top