Sri Semantan buka Wisma Utara di Sungai Petani, sasar 30 cawangan

Sri Semantan buka Wisma Utara di Sungai Petani, sasar 30 cawangan

Sungai Petani : Kedai Emas Sri Semantan (KESS) terus memperkukuhkan empayar perniagaannya apabila membuka cawangan ke-18 di Sungai Petani, yang kini bertindak sebagai wisma dan hab operasi utama bagi wilayah utara.

Menurut Pengerusi Emas Sri Semantan, Mohamad Hafizal Mahmood pembukaan cawangan berkenaan adalah sebahagian daripada pelan pengembangan strategik syarikat sebelum melebarkan sayap ke Senawang, Negeri Sembilan dan Pasir Gudang, Johor dalam masa terdekat.

Beliau berkata, syarikat turut merancang membuka sebuah lagi cawangan di Alor Setar bagi melengkapkan rangkaian operasi mereka di negeri Kedah.

“Pembukaan di Sungai Petani ini kita jadikan sebagai wisma atau hab bagi kawasan utara. Selepas ini, insya-Allah kita akan membuka cawangan di Alor Setar pula.

“Dalam masa sama, kita akan meneruskan sasaran membuka 30 cawangan di seluruh negara sebelum mengembangkan perniagaan ke luar negara,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian cawangan di Jalan Bintang Ria, di sini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun juga bekas pemain bola sepak kebangsaan, Baddrol Bakhtiar.

Menurut Mohamad Hafizal lagi, sasaran asal 30 cawangan sepatutnya mengambil masa beberapa tahun lagi, namun sambutan luar biasa daripada pelanggan telah mempercepatkan fasa perkembangan syarikat.

Malah, prestasi jualan sejak hari pertama operasi di Sungai Petani berjaya mengatasi petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan kewujudan skim pelaburan, Mohamad Hafizal menegaskan syarikatnya tidak pernah menawarkan sebarang bentuk skim pelaburan emas kepada orang awam.

“Kami tidak pernah menggunakan istilah pelaburan emas. Fokus kami hanya kepada urus niaga jual beli emas fizikal secara telus dan memberikan pendidikan kepada pelanggan supaya mereka memahami cara menyimpan emas dengan betul,” katanya.

Sehingga kini, KESS memiliki kira-kira 180,000 ahli di seluruh negara menerusi program kesetiaan pelanggan.

Keahlian adalah percuma di mana setiap pendaftaran akan menerima ganjaran emas seberat 0.1 gram serta mata ganjaran yang boleh ditebus kepada baucar atau emas percuma.

Melihat kepada trend semasa, beliau mendedahkan segmen emas digital kini mendapat sambutan luar biasa apabila merekodkan jualan melebihi 1 juta dalam tempoh sebulan setengah sahaja.

Selain itu, KESS bakal memperkenalkan ‘KESS Bike’ tidak lama lagi sebagai usaha menggalakkan golongan muda membeli dan menyimpan aset berharga itu.

Sementara itu, Baddrol Bakhtiar dalam ucapannya memuji usaha Emas Sri Semantan yang bukan sahaja merancakkan ekonomi tempatan, malah memberi peluang kepada masyarakat khususnya Bumiputera untuk memiliki aset emas sebagai simpanan masa depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top