PONTIAN – Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Benut, Datuk Mohd Sumali Reduan menegaskan beliau lebih selesa berkempen dengan mengenengahkan rekod perkhidmatan dan tawaran untuk rakyat, berbanding menyerang peribadi lawan atau memainkan sentimen politik sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, pendekatan itu selari dengan budaya politik yang selama ini diamalkan di Johor yang lebih menumpukan kepada pembangunan, khidmat kepada rakyat serta persaingan secara sihat antara parti-parti yang bertanding.
Sumali berkata, fokus utamanya ketika berkempen adalah menjelaskan apa yang boleh ditawarkan BN kepada pengundi Benut sekiranya parti itu terus diberi mandat untuk mentadbir negeri.
“Saya memang pesan kepada semua jentera saya dan juga PDM, kita lebih kepada kebaikan pemimpin Barisan Nasional sebelum ini, kelebihan pemimpin Barisan Nasional sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama (BGU) DUN Benut di sini, pada Rabu.
Kerusi DUN Benut menyaksikan persaingan satu lawan satu antara Sumali dan calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Abdul Razak Ismail.
Benut sebelum ini disandang bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.
Benut berada di bawah Parlimen Pontian merupakan antara kawasan tradisi BN dan sebelum ini disandang bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad sejak 2008.
Mengulas lanjut, Sumali berkata, beliau tidak menghalang persaingan politik namun berpendapat ia perlu berlangsung dalam suasana yang matang dan membina.
“Pengundi seharusnya diberikan ruang untuk menilai sendiri parti yang bertanding berdasarkan rekod pencapaian, dasar dan perancangan yang dibawa kepada rakyat.
“Pada saya, kita cubalah promote parti kita, mana parti yang terbaik. Kita serah kepada rakyat untuk memilih. Itu sebenarnya yang terbaik,” katanya.
Beliau turut menyuarakan pandangan bahawa kempen yang terlalu menumpukan kepada serangan terhadap pihak lawan tidak membawa manfaat kepada rakyat yang mahukan penyelesaian terhadap isu kehidupan harian mereka.
“Saya masih lagi berkempen, tak pernah pun menceritakan tentang keburukan lawan saya, apatah lagi saya ‘attack’. Di Johor ini sepatutnya Johor dengan cara Johor,” katanya lagi.
Sumali berkata, Johor mempunyai tradisi politik tersendiri dan beliau berharap persaingan sepanjang kempen dapat berlangsung dalam suasana yang mencerminkan kematangan pengundi serta pemimpin politik di negeri itu.
Beliau berkata, yang lebih penting adalah memastikan rakyat memahami hala tuju pembangunan yang mahu dibawa kerajaan negeri serta kesinambungan dasar yang boleh memberi manfaat kepada kawasan seperti Benut.



