ISTANBUL – Bahrain dan Kuwait mendakwa sistem pertahanan udara masing-masing berjaya memintas serangan udara Iran pada awal Rabu ketika ketegangan serantau kembali memuncak, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Angkatan tentera Kuwait memaklumkan pihaknya mengesan dua peluru berpandu balistik dan 13 dron musuh memasuki ruang udara negara itu pada waktu subuh.
Menurut kenyataan tentera, semua peluru berpandu dan dron berkenaan berjaya dipintas serta ditangani tanpa menyebabkan sebarang kerosakan harta benda atau kemalangan jiwa.
Angkatan tentera Kuwait turut menegaskan bahawa pihaknya kekal bersiap siaga sepenuhnya untuk melindungi keselamatan negara serta rakyat dan penduduknya.
Di Bahrain, televisyen kerajaan melaporkan sistem pertahanan udara negara itu berjaya memintas dan memusnahkan serangan udara Iran di ruang udara Bahrain.
Penyiar itu memaklumkan serangan berkenaan berjaya dipintas di ruang udara negara itu, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai jenis atau jumlah projektil atau dron yang terlibat.
Siren amaran dibunyikan di seluruh Bahrain buat kali ketiga dalam tempoh beberapa jam ketika Kementerian Dalam Negeri menggesa rakyat dan penduduk supaya bertenang serta segera menuju ke lokasi selamat yang terdekat.
Setakat ini, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan.
Perkembangan itu berlaku selepas tentera Iran memberi amaran bahawa semua pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di seluruh rantau itu akan menjadi “sasaran yang sah” sekiranya Washington terus melanggar perjanjian gencatan senjata.
Terdahulu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memaklumkan pihaknya melancarkan operasi peluru berpandu dan dron yang menyasarkan 85 kedudukan tentera AS, termasuk Pelabuhan Salman, ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut AS di Bahrain serta Pangkalan Udara Ali Al-Salem di Kuwait, menurut agensi berita separa rasmi Tasnim.
Sementara itu, tentera AS memaklumkan pihaknya melancarkan satu lagi gelombang serangan terhadap Iran dengan menyasarkan lebih 80 lokasi sebagai tindak balas terhadap serangan Iran ke atas kapal komersial yang melalui Selat Hormuz.
Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan bahawa serangan itu dilancarkan “sebagai tindak balas segera terhadap serangan Iran ke atas kapal komersial yang melalui Selat Hormuz.” – Bernama/Anadolu



