Ryaan pemain import baharu perkukuh benteng NSFC

Ryaan pemain import baharu perkukuh benteng NSFC

sukan@hmetro.com.my

Seremban: Bekas kapten pasukan Hougang United FC dari Singapura, Muhammad Ryaan Sanizal diumumkan sebagai pemain import baharu pertama menyertai Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam persiapan menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) musim 2026/27.

Pemain pertahanan berusia 24 tahun itu bakal diberi kepercayaan untuk mengemudi dan memperkukuhkan bahagian tengah benteng pasukan, selain boleh beraksi sebagai bek kanan dan bek kiri.

Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus mengesahkan kehadiran Muhammad Ryaan dalam skuad Hobin Jang Hobin.

“Kubu pertahanan pasukan kini menerima suntikan aura kepimpinan baharu apabila Ryaan Sanizal secara rasminya menyertai keluarga besar NSFC sebagai pemain import dari Singapura.

“Ryaan akan diberi kepercayaan untuk mengemudi dan memperkukuhkan bahagian pertahanan pasukan.

“Dia hadir dengan profil kepimpinan cukup cemerlang kerana sebelum ini pemain ini menabur bakti di Liga Perdana Singapura bersama Hougang United FC dan turut memikul tanggungjawab sebagai kapten pasukan.

“Kualiti dan ketenangannya di barisan pertahanan turut diiktiraf di pentas antarabangsa apabila beliau mempunyai rekod penampilan bersama pasukan kebangsaan Singapura,” katanya.

Sebelum ini, NSFC memiliki lima pemain import yang dikekalkan daripada musim lalu membabitkan empat pemain dari Jepun iaitu Takumi Sasaki, Kei Oshiro, Yuichi Hirano dan Mio Tsuneyasu serta Jovan Motika dari Bosnia & Herzegovina.

Faliq turut memaklumkan kehadiran dua pemain pertahanan tempatan iaitu Muhammad Hairiey Hakim Mamat dan Muhammad Umar Hakeem Suhar Redzuan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top