6 tekong darat didakwa seludup 10 migran

6 tekong darat didakwa seludup 10 migran

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Enam tekong darat termasuk dua wanita dan lelaki warga Thailand didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyeludup 10 migran dari Bangladesh.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhamad Amirul Aileh (warga Thailand), 30; Muhammad Arif Abd Halim, 22; Mohamad Hazran Mohd Daud, 34; Mohd Shamsuri Yusoff, 45; Norazalina Mohamad, 40, dan Nur Aliya Natasya Abdul Rahman, 20, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Nik Muhamad.

Ini kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka bersama seorang lagi berusia 37 tahun yang masih bebas didakwa menjalankan aktiviti penyeludupan terhadap 10 migran warganegara Bangladesh itu di sebuah rumah di Taman Desa Mas, Kampung Sungai Mas dekat Machang, pada 8 pagi, 11 Jun 2026.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Kamilah Che Ibrahim, manakala Norazalina diwakili peguam Ahmad Nurie Abd Rahman dan lima lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 26 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top