mhafis@mediaprima.com.my
Seri Kembangan: Sebuah kilang memproses sabun pencuci di sekitar Seri Kembangan diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor selepas disyaki menggunakan logo halal yang tidak sah bagi tujuan perdagangan.
Pengarah KPDN Selangor Muhamad Hanif Asa’ari berkata, operasi bersepadu pada jam 11.25 pagi ini, dijalankan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Selangor bersama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya.
Menurutnya, kilang berkenaan didapati memasarkan produk sabun pencuci secara dalam talian.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu disyaki menggunakan logo halal yang tidak diperakui oleh pihak berkuasa pada produk yang dipasarkan.
“Susulan itu, sebanyak 31,140 unit sabun pencuci, 40,000 unit plastik pembungkusan serta beberapa dokumen disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM215,700,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seramai lima pekerja warga asing dan seorang pengarah syarikat warga tempatan diperiksa bagi membantu siasatan.
“Lima pekerja warga asing itu turut diserahkan kepada JIM untuk tindakan lanjut.
“Operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat awam berhubung penggunaan logo halal yang tidak sah pada produk yang dibungkus syarikat terbabit,” katanya.
Hanif berkata, kes disiasat mengikut subperenggan 8(b), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
“Jika disabitkan kesalahan, syarikat boleh didenda sehingga RM200,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM500,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya.
“Bagi individu pula, pesalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda sehingga RM250,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




