redzuan.muharam@hmetro.com.my
Cheras: Pengalaman diserang angin ahmar berdarah atau ‘haemorrhagic stroke’ enam tahun lalu pernah menjadi titik hitam dalam hidup Muhammad Hafiz Jumasri atau Aman.
Ia kerana apa yang berlaku menyebabkan hasrat Aman, 28, menggenggam Ijazah Sarjana Muda Perakaunan tidak kesampaian malah kehidupannya berubah 180 darjah kerana kini bergerak dengan bantuan kerusi roda.
Dalam fasa sulit itu, Aman mendapat kekuatan daripada keluarga terutama ibu bapanya yang banyak memberi semangat buatnya.
Sejak April lalu, Aman bangkit dengan berkongsi pengalaman sebagai pesakit angin ahmar dan sisi kehidupannya sebagai insan istimewa menerusi siaran langsung di TikTok.
“Saya mula aktif di TikTok sejak lima bulan lalu dan niat asalnya adalah menimba ilmu dan menambah kenalan.
“Bagi saya, ia peluang untuk mencabar diri keluar dari zon selesa, berkongsi pengalaman berkaitan penyakit yang saya alami dan berinteraksi dengan mereka yang mengikutinya.
“Pada mulanya agak sukar membina keyakinan diri tetapi saya tetap terus mencuba berkongsi pengalaman demi memberi pendedahan awal dan ilmu yang bermanfaat kepada orang lain mengenai angin ahmar.
“Saya harap usaha kecil ini memberi manfaat dan syukur kerana ada juga penjaga pesakit menghubungi saya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di Bandar Tun Hussein Onn, dekat sini.
Menurut Aman, dia lazimnya bersiaran langsung pada sebelah malam dan selebihnya mengisi masa di rumah dengan berehat serta melayari Internet.
Mengimbas detik mengubah hidupnya, Aman berkata, dia diserang angin ahmar berdarah pada Mei 2020 iaitu ketika membantu menyediakan juadah berbuka puasa dan tidak lama selepas mengalami gastrik yang serius.
Berikutan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), keluarga Aman menghadapi kesukaran untuk membawanya ke hospital dengan segera.
Bagaimanapun, Aman akhirnya dapat dimasukkan hospital seterusnya menerima rawatan segera di unit rawatan rapi (ICU).
“Angin ahmar itu menyerang dengan tiba-tiba dan hasil pemeriksaan lanjut doktor di hospital mendapati penyakit saya berpunca daripada saluran darah nipis sejak kecil.
“Kesannya, saya koma selama sebulan sebelum sedar dan mengikuti rawatan rehabilitasi di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), Kuala Lumpur.
“Pada mulanya, memang sukar untuk saya menerima ujian ini kerana dulu saya seorang yang sangat ceria tapi kini menjadi seorang yang pendiam selain sukar untuk berjalan serta bergerak,” katanya yang juga memiliki Diploma Perakaunan.
Menurutnya, dia sudah menerima takdir tertulis buatnya dan melihat penyakit dialami sebagai ujian bagi mendekatkan lagi diri dengan Allah SWT.
Biarpun tidak dapat meneruskan pengajian dan bekerja, Aman nekad mencari peluang bagi menjana pendapatan dari rumah dengan syarat ia daripada sumber yang halal.
“Pada masa sama, saya akan berusaha ke arah penyembuhan walaupun doktor tak pernah bagi jaminan bila penyakit ini boleh sembuh.
“Syukur kerana walaupun sakit, saya masih ada emak dan ayah malah terlalu banyak pengorbanan mereka daripada segi masa, tenaga juga wang ringgit bagi menampung kos rawatan saya yang berterusan sehingga kini.
“Terima kasih juga kepada doktor, jururawat dan pihak hospital kerana sediakan rawatan berterusan serta banyak bantu keluarga. Saya sangat hargainya kerana ada masanya patah semangat mengenangkan nasib diri.
“Tak lupa juga semua pihak yang membantu memandangkan keadaan diri saya yang masih memerlukan sokongan dan rawatan berterusan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
