Mayat reput di kolam tadahan air Bandar Pulai Jaya disahkan wanita

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis mengesahkan mayat ditemukan di kolam tadahan air Bandar Pulai Jaya di sini, petang semalam, adalah wanita.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.09 malam semalam, berkaitan penemuan mayat berkenaan.

Beliau berkata, mayat ditemukan orang awam, dalam keadaan terapung dan mengalami proses pereputan.

Menurutnya, dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, mayat itu berjaya dibawa keluar dari kolam terbabit.

“Berdasarkan pemeriksaan awal, mayat dipercayai seorang wanita. Identiti dan punca kematian masih belum dapat dipastikan.

“Setakat ini, tiada unsur jenayah dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, untuk proses bedah siasat dan pengecaman.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil bedah siasat serta siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, penemuan mayat di kolam tadahan itu turut tular di media sosial sejak semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top