Argentina lebih kebal selepas dua ujian getir

Argentina lebih kebal selepas dua ujian getir

Kansas City: Penyokong Argentina paling pesimis sekali pun mungkin tidak menjangka juara bertahan itu terpaksa berhempas-pulas sebelum menewaskan Cape Verde dan bangkit secara dramatik pada lewat permainan ketika menundukkan Mesir selepas mengharungi saingan peringkat kumpulan Piala Dunia dengan penuh bergaya.

Namun, selepas melalui dua aksi kalah mati yang mencabar, skuad kendalian Lionel Scaloni itu masih meneruskan kemaraan dan kini mengalihkan tumpuan kepada aksi suku akhir menentang Switzerland di Kansas City, pagi Ahad ini.

Kemenangan dramatik 3-2 ke atas Mesir di Atlanta, berpotensi menjadi detik penentu sekiranya Argentina berjaya mempertahankan kejuaraan, dengan Lionel Messi mencetuskan kebangkitan luar biasa selepas pasukannya ketinggalan 0-2 ketika baki hanya 11 minit permainan.

“Sukar untuk menilai pasukan ini. Apa yang benar-benar boleh dinilai ialah hati dan semangat mereka yang tidak pernah mengalah,” kata bekas penyerang Argentina, Carlos Tevez kepada ESPN Argentina selepas perlawanan.

Walaupun aksi Argentina pada pusingan kalah mati tidak meyakinkan berbeza ketika mereka mengharungi saingan peringkat kumpulan dengan mudah mengatasi Algeria, Austria dan Jordan, kesukaran berdepan Cape Verde dan Mesir mungkin memberi manfaat kepada mereka.

Argentina membuktikan mereka enggan mengaku kalah, satu tema yang berulang kali ditekankan pemain selepas kemenangan ke atas Mesir.

“Kami sekali lagi berdepan kesukaran, tetapi inilah Piala Dunia. Setiap perlawanan akan menjadi seperti ini,” kata Messi.

Kumpulan ini tidak pernah mengalah dan terus berjuang sehingga wisel penamat.

“Pemain tengah, Leandro Paredes turut berkongsi pandangan sama.

“Kami tidak pernah merasakan semuanya sudah berakhir. Kami tidak pernah berhenti percaya. Ia tamparan yang hebat, tetapi pasukan ini akan sentiasa berjuang.”

Dua aksi kalah mati itu bagaimanapun mendedahkan beberapa kelemahan Argentina apabila mereka sudah melepaskan empat gol dalam dua perlawanan, berbanding hanya satu gol sepanjang aksi peringkat kumpulan iaitu ketika menentang Jordan, ketika Scaloni merehatkan beberapa tonggak utama.

Namun, Scaloni menegaskan anak buahnya mempamerkan aksi lebih baik ketika menentang Mesir berbanding Cape Verde, selain mencipta banyak peluang terutama pada babak pertama termasuk sepakan penalti yang gagal disempurnakan Messi.

“Sehingga wisel penamat, kami tidak akan berputus asa untuk setiap bola dan kami akan terus bermain mengikut cara kami,” katanya.

Argentina kembali menjalani latihan di Kansas City hari ini sebagai persiapan menghadapi Switzerland.

Scaloni menjangkakan satu lagi perlawanan yang sukar menentang pasukan yang disifatkannya memiliki ‘tradisi hebat di Piala Dunia serta dibarisi pemain berpengalaman luas di pentas itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top