Penamatan kehamilan: Undang-undang Malaysia peruntuk pengecualian jelas di bawah Seksyen 312 Kanun Keseksaan

Penamatan kehamilan: Undang-undang Malaysia peruntuk pengecualian jelas di bawah Seksyen 312 Kanun Keseksaan

Kuala Lumpur: Penamatan kehamilan hanya dibenarkan di bawah Seksyen 312 Kanun Keseksaan jika dilakukan oleh pengamal perubatan sah yang berpendapat bahawa penerusan kehamilan akan membabitkan risiko nyawa, kecederaan kepada fizikal atau mental wanita hamil berkenaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata, beliau mengambil maklum kenyataan beberapa pihak berhubung jawapan bagi soalan tambahan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kepala Batas Dr Siti Mastura Muhammad semasa sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat, Isnin lepas.

“Saya yakin pihak yang berkenaan mengetahui bahawa di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574], khususnya Seksyen 312 hingga Seksyen 316, pengguguran kandungan pada asasnya adalah suatu kesalahan jenayah.

“Bagaimanapun, undang-undang Malaysia turut memperuntukkan pengecualian yang jelas di bawah Seksyen 312… dalam keadaan sedemikian, penamatan kehamilan adalah dibenarkan di sisi undang-undang,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kenyataannya merujuk secara spesifik kepada soalan tambahan, iaitu berkenaan jumlah klinik yang dikesan melakukan perkhidmatan pengguguran secara haram tanpa kebenaran di seluruh negara.

“Mungkin timbul kekeliruan atau salah anggap terhadap maklum balas saya di Dewan Rakyat pada hari tersebut apabila saya tidak menyatakan secara jelas mengenai peruntukan pengecualian di bawah Seksyen 312 Kanun Keseksaan,” katanya.

Lim berkata, penjelasan yang diberikan tidak bertujuan untuk mengetepikan pengecualian yang diperuntukkan di bawah undang-undang sedia ada berhubung isu pengguguran kandungan malah salah tafsiran terhadap maklum balas beliau mungkin timbul apabila ia dilihat dari sudut yang berbeza.

“Mungkin tajuk pelaporan yang tidak menggambarkan keadaan keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya sentiasa menghormati dan mengiktiraf kerangka perundangan yang berkuat kuasa di negara ini serta menghargai pandangan semua pihak.

Lim juga berharap penjelasan beliau mampu menjernihkan sebarang kekeliruan mengenai kenyataannya dan kedudukan undang-undang berkaitan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top