khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kluang: Setiausaha Agung BERSATU Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan bahawa Perikatan Nasional (PN) mempunyai ramai tokoh berkelayakan untuk menjadi Menteri Besar Johor.
Beliau berkata, antara calon yang mempunyai kelayakan adalah seperti calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang Abdul Mutalip Abd Rahim, Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee (Parit Raja) dan Mohd Radzi Amin (Bukit Naning).
Bagaimanapun katanya, mereka perlu terlebih dahulu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung Sabtu ini.
“Ramai yang berkelayakan, tapi mesti menang dalam pilihan raya sebelum kita nak putuskan soal menteri besar.
“Akhirnya kita kena rujuk Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor.
“Cadangan itu mesti diangkat kepada Tuanku Sultan untuk mendapat perkenan kerana itu adalah perlembagaan yang perlu kita junjung dan hormati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Program Rapat Rakyat Layang-Layang Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Chokro, malam tadi.
Azmin berkata demikian ketika ditanya sama ada PN sudah mempunyai calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu memenangi PRN Johor.
Mengulas lanjut, Azmin turut berharap parti itu dapat memenangi kesemua 16 kerusi yang ditandingi dalam PRN kali ini.
“Kita tidak gelojoh ataupun tamak untuk bertanding banyak kerusi bila kita nak menentukan jumlahnya mestilah ada strategi dan pelan strategik.
“Kita berasakan 16 kerusi ini antara kerusi yang dapat melonjakkan sokongan kepada BERSATU berdasarkan statistik bukan sahaja dalam PRN 2022 yang lalu tetapi juga kita bandingkan dengan Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya.
Menurutnya, walaupun PN bertanding sebanyak 33 kerusi, namun mereka juga mempunyai kerjasama bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
“Kalau ditakdirkan ada sokongan rakyat yang positif dan besar, kita sudah boleh membentuk kerajaan disebabkan di Johor, kita memerlukan 29 kerusi untuk membentuk kerajaan.
“Sudah tentu kita akui masuk dalam PRN ini sebagai ‘underdog’ oleh kerana kita pembangkang,” katanya,
Dalam pada itu, Azmin turut menolak tanggapan ketiadaan manifesto PN dalam PRN kali ini disebabkan pergaduhan membabitkan BERSATU dan PAS.
Sebaliknya katanya, BERSATU dalam PRN kali ini sudah mengemukakan iltizam kepada semua calonnya.
“Tidak timbul soal itu (gaduh). Kita sudah kemukakan iltizam. Ini soal istilah. Ada pihak menggunakan tekad, ada pihak menggunakan manifesto, tetapi apa yang sudah kita bincangkan di dalam BERSATU untuk calon kita mengemukakan iltizam yang lebih realistik, yang menampilkan calon dengan komitmen bagi isu tempatan.
“Ini kerana kalau kita lihat situasi di Johor ini, oleh kerana ia sebuah negeri yang agak luas, masalahnya agak berbeza dari satu daerah ke satu daerah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




