Mascherano pertaruh RM187 juta demi bola sepak

Mascherano pertaruh RM187 juta demi bola sepak

sukan@hmetro.com.my

Tatkala kebanyakan bekas bintang bola sepak memilih untuk hidup bersenang-lenang menikmati wang pencen, legenda Argentina berusia 42 tahun, Javier Mascherano kini rancak memberikan fokus penuh terhadap pembangunan akademinya selepas meletak jawatan sebagai pengurus kelab Inter Miami pada April lalu.

Status kewangan wira pertahanan ini juga bukan kepalang apabila memiliki kekayaan dianggarkan mencecah RM187 juta, di samping bergelar pemilik hartanah elit serta pengasas pusat pembangunan akar umbi moden, Akademi Bola Sepak Javier Mascherano.

Ketegasannya sebagai ‘bapa disiplin’ sentiasa terpahat dalam ingatan peminat apabila dia pernah tular membantai mentaliti pemain muda yang didakwanya terlalu gilakan publisiti media sosial berbanding bermati-matian di atas padang ketika mengendalikan skuad U-20 negaranya sebelum ini.

Mengimbau kehebatannya di pentas antarabangsa, pemegang 147 kaps rasmi ini adalah pahlawan berdarah waja yang pernah merangkul dua pingat emas Olimpik serta menolong negaranya mara sehingga ke pentas final Piala Dunia 2014.

Era dinasti agungnya di peringkat kelab pula menyaksikan pemain tengah bertahan ini menikmati kemuncak karier bersama Barcelona dengan merangkul dua trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), lima kejuaraan La Liga serta satu gelaran Treble bersejarah pada musim 2014-2015.

Peminat bola sepak pastinya sentiasa merindui kelicikannya bertindak sebagai ‘paku taktikal’ yang pantas mematikan transisi serangan lawan, selain terkenal dengan kelincahan teknik hadangan slaid maut pada saat genting.

Pengorbanan paling gila dan ikonik Mascherano sudah semestinya terarah kepada insiden di separuh akhir Piala Dunia 2014, di mana dia nekad melakukan hadangan slaid ekstrem bagi menyekat rembatan Arjen Robben sehinggakan otot anusnya dilaporkan terkoyak.

Karier gemilangnya bagaimanapun melabuhkan tirai pada November 2020 sewaktu beraksi untuk Estudiantes de La Plata, namun dia menolak untuk bercuti panjang demi mendalami selok-belok pengurusan kejurulatihan profesional bersama Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA).

Kini, tatkala bergelar ejen bebas daripada tugas kejurulatihan di tepi padang, kesibukan terbesar Mascherano pada bulan ini tertumpu sepenuhnya kepada perancangan menaik taraf fasiliti teknologi sukan di akademinya di Lincoln demi melahirkan generasi pelapis wira negara yang baharu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top