Perancis paling menyerlah, namun Maghribi bukan lawan mudah

Perancis paling menyerlah, namun Maghribi bukan lawan mudah

Los Angeles: Perancis berdepan cabaran Maghribi dalam aksi suku akhir Piala Dunia 2026 awal pagi esok, ketika saingan terbesar dan paling kompleks dalam sejarah kejohanan itu memasuki fasa penentuan.

Selepas sebulan aksi penuh dramatik yang menyaksikan 280 gol dijaringkan dalam 96 perlawanan, saingan 48 pasukan kini mengecil kepada lapan pasukan yang memburu trofi pada final 20 Julai di East Rutherford.

Perancis yang dianggap pasukan paling menyerlah sepanjang kejohanan, akan bertemu juara Afrika, Maghribi di Stadium Gillette, Boston, dalam ulangan separuh akhir Piala Dunia 2022 yang menyaksikan Les Bleus menyingkirkan lawan sama 2-0.

Kekalahan kepada Maghribi akan menamatkan era pengendali Perancis, Didier Deschamps yang bakal mengundur diri selepas 14 tahun mengemudi pasukan itu dengan pelbagai kejayaan.

Deschamps antara tiga individu yang pernah menjuarai Piala Dunia sebagai pemain dan jurulatih berkata, dia tidak memikirkan legasinya, sebaliknya hanya memberi fokus kepada usaha menewaskan Maghribi.

“Saya langsung tidak memikirkan perkara itu. Fokus saya bersama barisan kejurulatihan adalah memastikan segala-galanya berjalan baik dan menghadapi pasukan Maghribi,” katanya.

Dia turut menolak kebimbangan mengenai pelantikan pengadil Argentina, Facundo Tello yang dipersoalkan sesetengah pihak kerana kemungkinan pertemuan Perancis dengan Argentina pada final.

“Sentiasa ada keputusan yang boleh diperdebatkan bergantung kepada pihak mana anda berada, tetapi lawan kami ialah Maghribi. Saya tidak boleh menganggap pengadil sebagai lawan,” katanya.

Namun Maghribi memiliki ramuan untuk menguji Perancis menerusi gabungan kualiti teknikal, kekuatan fizikal dan disiplin taktikal di bawah kendalian Mohamed Ouahbi.

Ouahbi mahu pemainnya tampil tanpa penyesalan selepas kegagalan memberikan aksi terbaik ketika tewas kepada Perancis di separuh akhir 2022.

“Kunci utama ialah tidak menyesal. Kami perlu masuk ke padang dengan semangat juang tinggi,” katanya.

Pemenang pertemuan itu akan menentang pemenang aksi suku akhir antara Sepanyol dan Belgium di separuh akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top