Kelab lahirkan pemain kebangsaan Kanada kini berdepan masalah

Kelab lahirkan pemain kebangsaan Kanada kini berdepan masalah

Toronto: Bandar Brampton di Ontario mungkin tidak terkenal dalam bola sepak dunia, namun kawasan itu melahirkan beberapa pemain penting skuad kebangsaan Kanada.

Bagaimanapun, masa depan kelab tempatan yang menjadi tempat bermulanya bakat mereka mula dipersoalkan selepas kehilangan lesen pembangunan pemain.

Brampton Soccer Club yang pernah menjadi tempat awal karier bekas kapten Kanada, Atiba Hutchinson serta pemain seperti Cyle Larin, Jonathan Osorio dan Tajon Buchanan kehilangan lesen Liga Pembangunan Pemain Ontario (OPDL) tahun lalu.

Kehilangan lesen itu menimbulkan kebimbangan dalam komuniti bola sepak tempatan kerana OPDL dianggap laluan penting bagi pemain muda berbakat melangkah ke peringkat lebih tinggi sebelum dipantau untuk skuad kebangsaan.

Bekas penduduk Brampton yang juga pernah melatih Buchanan, Chrys Chrysanthou menyifatkan keadaan itu mengecewakan kerana bandar yang melahirkan ramai pemain berbakat Kanada kini berdepan kelemahan dalam sistem pembangunan.

“Anda mempunyai bandar yang menghasilkan bakat bola sepak terbaik negara, tetapi kelabnya pula tidak mampu menguruskan perkara asas dari segi pentadbiran,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Burlington Soccer Club, Amal Chauhan berkata, laluan pemain muda Brampton ke peringkat negeri dan kebangsaan kini terganggu, menyebabkan sebahagian mereka terpaksa mencari kelab lain untuk meneruskan perkembangan.

Namun, pengarah eksekutif Brampton Soccer Club, Paula Phillips menegaskan kelab itu tidak diwajibkan memiliki lesen OPDL berikutan kos operasi yang tinggi.

Sebaliknya, kelab memilih memberi tumpuan kepada program yang melibatkan lebih ramai pemain berbanding hanya kelompok elit.

Isu itu timbul ketika bola sepak Kanada berada dalam fasa kebangkitan selepas skuad kebangsaan mencipta sejarah mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 sebagai tuan rumah bersama Amerika Syarikat (AS) dan Mexico.

Perdana Menteri Kanada, Mark Carney turut memberi penghormatan kepada Brampton selepas memuji sumbangan bandar itu terhadap pembangunan bola sepak negara, selain menjanjikan sokongan kerajaan untuk memperkukuh kemudahan sukan tempatan.

Datuk Bandar Brampton, Patrick Brown pula berkata, bandar itu terus menyediakan kemudahan besar termasuk 191 padang luar serta merekodkan lebih 34,000 jam penggunaan padang bola sepak pada 2025.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top