Trump dakwa namanya berada dalam senarai sasaran pembunuhan Iran

Trump dakwa namanya berada dalam senarai sasaran pembunuhan Iran

Washington: Israel berkongsi risikan dengan Amerika Syarikat (AS) minggu ini mengenai rancangan baharu dan “spesifik” yang didakwa dirancang Iran untuk membunuh Presiden Donald Trump, menurut laporan media AS pada Khamis.

Laporan itu muncul ketika ketegangan antara AS dan Iran kembali memuncak susulan serangan terbaharu kedua-dua pihak, sekali gus mencetuskan kebimbangan konflik berskala penuh akan tercetus semula.

Ia juga menyusuli tindakan Trump menggunakan pesawat Air Force One lama ketika berlepas dari Turkiye selepas Sidang Kemuncak NATO.

CNN yang memetik sumber yang mengetahui perkara itu melaporkan Washington telah lama memantau maklumat risikan mengenai kemungkinan rancangan untuk membunuh Trump, namun amaran yang dikongsi Israel kali ini adalah baharu dan membabitkan satu rancangan yang lebih khusus.

The Wall Street Journal, yang turut memetik sumber tidak dinamakan, melaporkan risikan itu merujuk kepada satu komplot “baharu”.

Tehran sejak sekian lama berikrar akan membalas dendam terhadap Trump susulan arahannya membunuh Jeneral Iran, Qassem Soleimani, pada Januari 2020 ketika penggal pertamanya sebagai presiden.

Apabila dihubungi AFP mengenai laporan itu, seorang pegawai Rumah Putih enggan mengulas lanjut dan hanya merujuk kepada kenyataan Trump pada Rabu.

“Mereka mahu membunuh pemimpin Amerika Syarikat – saya. Nama saya ada dalam senarai mereka. Saya lihat pagi ini, saya berada dalam setiap senarai mereka,” kata Trump kepada wartawan di dalam Air Force One ketika dalam penerbangan pulang dari sidang kemuncak NATO.

Trump menggunakan pesawat Air Force One lama untuk meninggalkan Turkiye, manakala pesawat baharu yang dihadiahkan Qatar diterbangkan terlebih dahulu ke Britain sebelum beliau bertukar pesawat untuk meneruskan perjalanan ke Washington.

Pertukaran itu mencetuskan spekulasi bahawa pesawat baharu berkenaan masih belum mempunyai ciri keselamatan yang mencukupi, terutama ketika AS melancarkan serangan baharu ke atas Iran yang berjiran dengan Turkiye.

The New York Times melaporkan lewat Rabu bahawa pertukaran pesawat itu dibuat atas permintaan Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (US Secret Service) sebagai langkah berjaga-jaga dari aspek keselamatan.

Dalam sidang media, Trump tidak menjawab secara langsung soalan mengenai keselamatan, namun memberi bayangan mengenai dakwaan cubaan pembunuhan oleh Iran yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top