am@hmetro.com.my
Shah Alam: Kebenaran mendirikan solat Jumaat di Musolla IOI City Mall, Putrajaya diberikan bermula 6 September 2024 atas perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Senator Datuk Salehuddin Saidin berkata, kebenaran solat Jumaat itu diputuskan oleh MAIS melalui Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid dan Surau Negeri Selangor (JATUMS) selepas mendapat perkenan Tuanku.
“MAIS mengambil maklum pelbagai respon ditimbulkan berhubung pelaksanaan solat Jumaat di Musolla IOI City Mall, Putrajaya susulan kenyataan media MAIS bertajuk Ketetapan Berhubung Kebenaran Solat Jumaat di Surau/Musolla Pusat Beli-belah di Negeri Selangor’ yang dikeluarkan pada 8 Julai lalu.
“MAIS sekali lagi menegaskan bahawa kebenaran solat Jumaat yang diberikan kepada Musolla IOI City Mall tersebut adalah bersifat sementara.
“Kebenaran itu akan terhenti jika masjid baharu berhampiran premis berkenaan dibina dan mampu memenuhi keperluan jemaah termasuk pekerja di premis tersebut untuk mendirikan solat Jumaat.
“Sebagai makluman, Musolla berkenaan terletak di dalam kompleks beli-belah IOI City Mall, Putrajaya di daerah Sepang yang berada dalam pengawasan dan pentadbiran Pejabat Agama Islam Daerah Sepang di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan tadi.
Mengulas lanjut katanya, kebenaran dan perkenan itu diberikan atas faktor-faktor termasuklah umat Islam di situ berdepan kesukaran dengan lokasi masjid yang jauh
“Melalui pemeriksaan dan penelitian di lokasi ketika itu, didapati premis itu mempunyai ramai kakitangan dan pekerja lelaki beragama Islam di samping menerima pengunjung termasuk dari kalangan lelaki beragama Islam.
“Mereka berhadapan kesukaran untuk menunaikan solat Jumaat memandangkan kedudukan masjid yang agak jauh daripada premis berkenaan.
“Masjid yang terdekat dengan premis berkenaan adalah Masjid Al-Mustaqim Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda yang terletak pada jarak lebih kurang 7.6 kilometer dan Masjid UNITEN, Kajang yang terletak pada jarak lebih kurang 7.7 kilometer,” katanya.
Di samping itu katanya, kedua-dua masjid berkenaan juga tidak mampu menampung jumlah ahli jemaah yang ramai ketika mendirikan solat Jumaat.
Beliau berkata, MAIS bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan terus memastikan pengurusan dan pelaksanaan solat Jumaat di Negeri Selangor dilaksanakan secara teratur, mematuhi kehendak hukum syarak serta selaras dengan peruntukan undang-undang demi menjaga kemaslahatan umat Islam di Negeri Selangor.
© New Straits Times Press (M) Bhd




