Lubnan letak syarat sebelum runding dengan Israel

Lubnan letak syarat sebelum runding dengan Israel

BEIRUT: Lubnan menuntut Israel berundur dari dua zon perintis di selatan negara itu sebagai syarat untuk menyertai pusingan run­dingan langsung seterusnya di Rom minggu depan.

Kedua-dua pihak sebelum ini mengadakan lima pusingan rundingan yang ditaja Amerika Syarikat (AS) di Washington bagi menamatkan konflik antara Israel dan Hizbullah yang disokong Iran, selain membuka laluan ke arah perjanjian damai.

Satu rangka kerja perjanjian dicapai baru-baru ini yang menggariskan pelucutan senjata Hizbullah dan pengunduran secara berperingkat tentera Israel dari wilayah Lubnan yang diduduk. Ia turut menggariskan tentera Lubnan akan ditempatkan di ‘zon perintis’ itu.

Bagaimanapun, perjanjian yang ditolak Hizbullah itu tidak menetapkan sebarang garis masa bagi pengunduran tentera Israel.

Malah, pegawai Israel turut menegaskan tenteranya akan terus kekal di zon keselamatan di wilayah Lubnan selagi Hizbullah masih bersenjata.

Sumber yang enggan namanya didedahkan itu berkata, Lubnan menetapkan syarat supaya Israel berundur daripada dua zon perintis sebelum bersetuju menyertai pusingan rundingan yang menurut Itali akan berlangsung di Rom pada 15 dan 16 Julai.

Sumber diplomatik Lubnan berkata, Jabatan Negara AS memaklumkan delegasi yang terbabit dalam rundingan bahawa pencapaian rangka kerja perjanjian menandakan berakhirnya satu fasa dan permulaan fasa baharu.

Menurut sumber itu, pusingan rundingan seterusnya yang bertujuan mencapai perjanjian damai kekal memerlukan wakil perunding berada berhampiran negara masing-masing bagi memudahkan proses perundingan.

Beliau turut berkata, Israel segera bersetuju memilih Rom sebagai lokasi rundingan kerana melihatnya sebagai peluang untuk mengurangkan tekanan oleh Wa­shington ketika rundingan bagi mencapai gencatan senjata dan rangka kerja perjanjian sebelum ini.

Pada masa sama, Lubnan me­nerima jaminan daripada AS untuk mengekalkan komitmen serupa dalam rundingan dan meneruskan pendekatan sedia ada dalam mengendalikan proses rundingan di Rom. – AFP

Scroll to Top