zahratulhayat@nst.com.my
Ipoh: Sepasang kekasih didakwa dengan enam pertuduhan jenayah di tiga mahkamah berasingan di sini, hari ini, termasuk tiga pertuduhan melakukan khianat dengan api.
M Dhinakaran dan B Rahtheneswary, kedua-duanya berusia 34 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di mana mereka mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melakukan khianat dengan api dalam kejadian berasingan bulan lalu.
Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Ainul Shahrin Mohamad, pasangan itu dituduh dengan sengaja membaling bom petrol ke arah sebuah rumah di Laluan Rokam 13, Pekan Razaki, pada jam 4 pagi, 4 Jun, sehingga menyebabkan kerosakan pada kediaman dan sebuah kereta.
Mereka juga dituduh melakukan khianat dengan api serta mempunyai niat memusnahkan empat rumah di Taman Kledang Suria pada jam 5 pagi, 11 Jun.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, mereka dituduh melakukan khianat dengan api atau menggunakan bahan letupan dengan niat merosakkan pintu hadapan sebuah rumah di Menglembu Bestari pada jam 3.30 pagi, 12 Jun.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, M Raveenna, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Raveenna mencadangkan wang jaminan sebanyak RM50,000 setiap seorang untuk semua tiga pertuduhan.
Semasa rayuan pengurangan, Dhinakaran menyatakan dia tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menyara ibu serta lima anaknya.
Rahtheneswary pula memohon jaminan yang lebih rendah dengan alasan dia bekerja sebagai guru tuisyen rumah dan menyara ibunya yang menghidap penyakit asma.
Mahkamah membenarkan jaminan RM11,000 setiap seorang dan menetapkan 11 Ogos untuk penyerahan dokumen.
Mahkamah juga mengarahkan agar peguam dilantik untuk kedua-dua tertuduh.
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, Dhinakaran mengaku bersalah menyembur cat merah pada pagar dan kereta di sebuah rumah di Taman Restu Jaya pada jam 5.20 pagi, 5 Jun.
Kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara satu hingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Majistret S Punitha mengenakan hukuman denda RM2,500 terhadapnya, atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira, manakala Dhinakaran diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert S Gnanarajan.
Di mahkamah sama, pasangan itu dituduh secara bersama menyembur cat merah pada sebuah kereta yang diletakkan di rumah di Jalan Menglembu Bestari pada jam 8.30 pagi, 8 Jun.
Dhinakaran mengaku bersalah dan didenda RM2,500, atau penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda.
Dia diwakili oleh peguam YBGK, Intan Shafini Mior Shahrin.
Rahtheneswary pula mengaku tidak bersalah. Mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM2,000 dan menetapkan 19 Ogos untuk sebutan semula kes.
Dia turut diwakili oleh Robert.
Di sebuah lagi Mahkamah Majistret, pasangan itu didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan kerosakan harta benda di sebuah rumah di Taman Temara pada jam 5.30 pagi, 4 Jun.
Dhinakaran mengaku bersalah di hadapan Majistret Norizan Ridzuan, manakala Rahtheneswary memohon untuk dibicarakan.
Pertuduhan di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama itu membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah mendenda Dhinakaran RM2,500, atau penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda, manakala Rahtheneswary dibenarkan ikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin.
Timbalan Pendakwa Raya, S Nishaalini mengendalikan pendakwaan, manakala Dhinakaran dan Rahtheneswary masing-masing diwakili peguam YBGK, Chan Hong Yan dan EP Seeralasittan.
Mahkamah menetapkan 12 Ogos untuk sebutan semula kes.
© New Straits Times Press (M) Bhd




