Legasi Bonnie Tyler, lagu Total Eclipse of the Heart kekal fenomena

Legasi Bonnie Tyler, lagu Total Eclipse of the Heart kekal fenomena

London: Ucapan takziah membanjiri media sosial pada Khamis susulan pemergian penyanyi Wales, Bonnie Tyler, yang terkenal menerusi lagu balada ikonik Total Eclipse of the Heart.

Beliau meninggal dunia pada usia 75 tahun di sebuah hospital di Portugal.

Dengan suara serak yang menjadi identitinya, rambut perang kusut serta solekan mata hitam, Tyler dikenali sebagai ratu lagu balada berkuasa era 1980-an.

Keluarganya menerusi Facebook memaklumkan mereka berdukacita mengumumkan bahawa Tyler meninggal dunia secara mengejut pada malam Rabu akibat penyakit yang sedang dirawat.

Pejabat Perdana Menteri Britain memaklumkan Perdana Menteri Keir Starmer turut berdukacita atas pemergian Tyler dan menyifatkannya sebagai “antara artis rakaman terhebat Britain” yang muziknya terus menyentuh hati ramai.

Sejumlah artis muzik dan filem turut memberi penghormatan kepada penyanyi itu.

Penyanyi rock Britain, Rod Stewart, berkata beliau dan Tyler berkongsi gaya nyanyian yang hampir sama serta menyifatkan penyanyi itu sebagai sahabat baik yang mampu menyentuh jiwa.

Pelakon Hollywood kelahiran Wales, Catherine Zeta-Jones, berkata Tyler yang pernah menyanyi pada majlis perkahwinannya adalah seorang wanita luar biasa dengan vokal yang hebat.

Penyanyi pop Britain, Cliff Richard, mengenang semangat hidup Tyler yang menghiburkan jutaan peminat di seluruh dunia, manakala penyanyi Kanada, Bryan Adams, memuji kehebatan suaranya dan berterima kasih kerana merakam versi indah sebuah lagu yang pernah ditulisnya bersama.

Penyanyi klasik, Katherine Jenkins, pula menyifatkan Tyler sebagai legenda Wales yang memberi inspirasi kepada generasi baharu dan mengangkat nama negara itu di pentas dunia.

Dilahirkan sebagai Gaynor Hopkins di bandar Neath, Wales pada 1951, Tyler membesar bersama lima adik-beradik sebelum meninggalkan alam persekolahan pada usia 16 tahun.

Dalam wawancara bersama The Daily Telegraph pada 2025, Tyler mengakui Total Eclipse of the Heart ialah pencapaian terbesar dalam kerjayanya.

“Bagaimana saya boleh bayangkan lagu itu masih begitu popular hingga hari ini dan dinyanyikan di karaoke oleh mereka yang belum lahir ketika ia diterbitkan?” katanya.

Beliau berasal daripada keluarga sederhana apabila bapanya bekerja di lombong arang batu manakala ibunya seorang suri rumah.

Tyler memulakan kerjayanya dengan bekerja di sebuah kedai runcit sambil menyanyi pada waktu lapang menggunakan nama pentas Sherene Davis sebelum ditukar kepada Bonnie Tyler selepas menandatangani kontrak dengan RCA Records pada 1975.

Tidak lama kemudian, beliau menjalani pembedahan membuang ketumbuhan kecil pada pita suara.

Disebabkan tidak berehat secukupnya selepas pembedahan, beliau memperoleh suara serak yang kemudiannya menjadi identiti uniknya.

Kejayaan besar pertamanya hadir menerusi lagu It’s a Heartache pada 1978 sebelum Total Eclipse of the Heart, ciptaan komposer Amerika Syarikat Jim Steinman, melonjakkan namanya ke peringkat antarabangsa.

Lagu itu menjadi antara balada rock paling terkenal sepanjang zaman dan pada 2026, 43 tahun selepas diterbitkan, ia melepasi satu bilion penstriman di Spotify.

Ia turut mencatat jualan melebihi enam juta salinan, manakala video muziknya ditonton lebih satu bilion kali di YouTube.

Pada kemuncak popularitinya pada 1984, Tyler turut merakam lagu Holding Out for a Hero untuk filem terkenal Footloose.

Sepanjang kerjayanya, beliau menghasilkan 17 album studio dan menerima tiga pencalonan Anugerah Grammy.Pada 2013, Tyler mewakili United Kingdom dalam pertandingan Eurovision menerusi lagu Believe In Me namun hanya menduduki tempat ke-19.Beliau berkahwin dengan bekas atlet judo, Robert Sullivan, dan sejak 1970-an mereka membahagikan masa antara Wales dan Algarve, Portugal.Pada 2022, Tyler dianugerahkan gelaran Member of the Order of the British Empire (MBE) oleh mendiang Ratu Elizabeth II atas sumbangannya kepada dunia muzik.”Saya menjalani kehidupan yang sangat normal. Saya bukan Mariah Carey. Saya sentiasa gembira melayan peminat yang mahu bergambar dengan saya,” katanya kepada The Times pada 2025.Beliau turut berkata tidak pernah jemu menyanyikan lagu-lagu lamanya.”Setiap kali saya menyanyikan Total Eclipse of the Heart, seluruh penonton akan menyanyi bersama. Itulah keajaibannya.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top