KUALA TERENGGANU – Lembaga Tabung Haji (TH) telah menghantar notifikasi peringatan awal melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan e-mel kepada kira-kira 60,000 bakal haji bagi tahun giliran 1448H/2027M dan 1449H/2028M.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, langkah tersebut melibatkan dua kohort berkenaan dengan anggaran setiap kohort mencecah kira-kira 30,000 jemaah.
Menurut beliau, peringatan awal itu diberikan bagi memastikan bakal haji yang mempunyai giliran dua tahun ke hadapan dapat melakukan persediaan lebih rapi dan menyeluruh.
”Kita nak bagi peringatan awal kerana giliran mereka adalah dua tahun ke hadapan. Kita nak mereka bersedia dan inilah yang kita cuba nak terapkan persediaan awal.
”Persediaan yang boleh dibuat bukan hanya dari segi kewangan, malah dari segi kesihatan dengan membuat pemeriksaan kendiri, menjaga kesihatan serta membanyakkan berjalan, selain menimba ilmu-ilmu agama,” katanya ketika ditemui pada program literasi kewangan ‘Cilik-Cilik Dah Celik’ ke Pantai Timur di Hotel Grand Puteri di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Mustakim berkata, kursus asas haji bagi musim baharu yang dijadualkan bermula pada 25 September depan bukan sahaja diwajibkan kepada mereka yang sudah terpilih, malah dibuka secara percuma kepada orang ramai bagi menyuntik literasi ibadah yang meluas.
”Kita harap semua yang kita panggil ini dapat menyertai kursus asas haji ini. Sebenarnya kursus ini terbuka kepada semua, bukan hanya mereka yang tiba giliran haji sahaja.
“Kita mahu jemaah kita bersedia supaya apabila sampai di Tanah Suci, mereka tenang dan tahu apa yang perlu dilakukan serta ilmu apa yang perlu ada untuk fokus kepada ibadah,” ujarnya.
Mengulas mengenai kaedah hebahan, beliau berkata, maklum balas yang diterima di platform media sosial amat positif dan menggalakkan hebahan itu bermula 1 Julai lalu, iaitu tarikh yang sama dengan penerbangan balik terakhir jemaah haji musim ini.
”Tahun lepas kita sudah mula cuma agak lambat sedikit. Kali ini kita lebih efisien, sebaik sahaja penerbangan terakhir mendarat, kita terus keluarkan peringatan untuk kohort tahun depan dan tahun berikutnya. TH mahu lebih banyak penglibatan bersama pendeposit,” katanya lagi.
Menyentuh mengenai isu bakal haji yang menolak tawaran akibat kekangan kewangan, Mustakim berkata bermula tahun lalu, TH menetapkan syarat wajib di mana pendeposit dalam giliran perlu mempunyai simpanan minimum RM15,000 di dalam akaun bagi melayakkan mereka menerima surat tawaran.
Katanya, nilai RM15,000 tersebut merupakan jumlah kadar minimum yang ditetapkan bagi kategori jemaah B40 bagi mendidik pengurusan kewangan secara berperingkat sekali gus mengelakkan situasi jemaah tertekan atau terpaksa menolak tawaran pada saat-akhir berikutan kegagalan menyediakan wang tunai dalam tempoh singkat.
”Jika tiada RM15,000 memang dia tidak boleh terima surat tawaran dan tidak boleh menerima tawaran itu pun sebab tak cukup duit. Kita mahu tanamkan literasi kewangan ini supaya orang ramai mula menyimpan sedikit demi sedikit, jadi mereka tidak rasa beban itu.
”Kalau dulu kita bagi tempoh seminggu dua atau tiga minggu, memang mereka akan rasa tekanan apabila tiba-tiba sahaja perlu cari duit RM15,000 hingga RM33,000.
“Sebab itu kita rasa ini tanggungjawab kita bagi peringatan dua tahun awal supaya jemaah boleh bertenang dan buat persiapan lebih awal,”katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai pembaharuan dan peraturan terbaharu daripada kerajaan Arab Saudi, Mustakim menjelaskan pihaknya masih menunggu keputusan rasmi sepenuhnya, namun telah dimaklumkan mengenai pemansuhan Pakej D.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa TH sudah bersedia sepenuhnya mendepani keputusan drastik pasca-musim haji tersebut memandangkan kemudahan jemaah muassasah Malaysia di Masha’in, Arafah dan Mina sebenarnya telah dinaik taraf ke standard Pakej C sejak tahun lalu.
”Antara perkara yang dimaklumkan kepada kita adalah tidak ada lagi disediakan Pakej D iaitu pakej yang paling rendah.
“Sebenarnya muassasah kita tahun lepas adalah di bawah Pakej D, tetapi sebab kita dah naik taraf kemudahan, kita sebenarnya sudah berikan kemudahan setaraf Pakej C walaupun jemaah cuma bayar kadar Pakej D.
”Jadi insya – ALLAH, perkara itu kita sudah dapat tangani dengan baik walaupun ia merupakan notis singkat daripada kerajaan Arab Saudi. Jika ada sebarang peraturan baharu lagi nanti, kita akan buat pelarasan sewajarnya,” katanya.



