Penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman dibenarkan keluar secara rasmi dari Hospital Bahagia semalam selepas hampir empat tahun mendapat rawatan disana.
Memetik Harian Metro, berita tersebut dimaklumkan oleh abangnya Zain Sulaiman dimana pihak hospital menghubungi mereka mengenai keputusan kebenaran keluar mengikut prosedur yang ditetapkan.
BACA: “Jangan ‘Bunuh’ Kreativiti Anak Seni” – Yasin Sulaiman Wajar Diberi Peluang
“Hari ini dia baru dapat keluar dan kebenaran untuk pulang disahkan. Keputusan ini memakan masa kerana terdapat banyak proses yang perlu dilalui, namun pihak hospital menghubungi saya minggu lalu untuk hadir menjemputnya hari ini,” katanya.
Sementara itu, Zain berkata adiknya berada dalam keadaan baik serta mengamalkan gaya hidup sihat sepanjang berada di sana.
“Alhamdulillah, dia sangat sihat dan gembira. Dia memang dah mempersiapkan diri untuk keluar sejak sekian lama. Malah kalau tak silap saya, dia ada six-pack sekarang sebab rajin workout sana (berseloroh),” katanya.
Dalam pada itu, Zain turut berkongsikan apabila dia bertanyakan kepada Yasin mengenai juadah makanan yang teringin dinikmati sebaik sahaja dibenarkan pulang.
“Bila saya tanya dia nak makan apa untuk tengah hari, dia jawab dia tak nak makan apa-apa sebab dah kenyang dengan kebebasan. Itu reaksi pertamanya yang membuatkan kami terhibur dan terharu,” katanya.
