BEIJING – Sekurang-kurangnya 28 orang maut dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah kilang kasut di bandar Jinjiang, wilayah Fujian, tenggara China pada Khamis, lapor BBC News.
Rakaman dramatik yang dikongsi agensi berita tempatan memaparkan kepulan asap hitam tebal menjulang tinggi dari bangunan kilang, selain beberapa individu dipercayai terperangkap di atas bumbung ketika menunggu bantuan.
Presiden China, Xi Jinping menyifatkan tragedi itu sebagai insiden yang mengakibatkan ‘kehilangan nyawa yang besar’ dan mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan.
Tegasnya, pihak yang bertanggungjawab mesti dikenakan tindakan tegas.
Jinjiang dikenali sebagai ‘ibu kota kasut’ China kerana dianggarkan menghasilkan kira-kira 20 peratus daripada kasut sukan dunia.
Menurut laporan, kebakaran tercetus di kilang Huiteng sekitar tengah hari waktu tempatan.
Ratusan anggota penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian manakala lebih 200 pekerja berjaya dipindahkan, lapor penyiar rasmi CCTV.
Setakat ini, jumlah mangsa yang cedera masih belum dapat dipastikan.
Laporan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula di tingkat bawah kilang yang digunakan untuk menyimpan bahan mudah terbakar.
Pihak berkuasa turut menahan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan pemilik kilang, selain membekukan akaun bank syarikat berkenaan bagi membantu siasatan.
China sebelum ini memperhebat kempen keselamatan kebakaran di bangunan bertingkat selepas insiden kebakaran besar yang meragut 168 nyawa di beberapa bangunan pangsapuri di Hong Kong pada November lalu.



