Kuala Lumpur: Dua pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan Pengiran Aidil Auf Hajam mengesahkan tempat ke final acara 200 meter (m) Kejohanan Olahraga Bawah 23 Tahun Asia 2026 di Ordos, China, sekali gus menghidupkan peluang Malaysia memburu satu lagi pingat malam ini.
Azeem, yang tampil dengan semangat tinggi selepas meraih emas acara 100m semalam, tidak berdepan masalah untuk melayakkan diri secara automatik apabila menamatkan Kelayakan 1 di tempat kedua dengan catatan masa 21.13 saat (s).
Pelari China, Youwen Huang muncul terpantas dengan masa 20.84s, manakala wakil India, Gokul Pandiyan Janakiraman di tempat ketiga dengan 21.51s.
Dalam pada itu, Pengiran Aidil turut mempamerkan larian meyakinkan apabila menamatkan Kelayakan 2 di kedudukan ketiga menerusi catatan 21.55s untuk turut mengesahkan tiket ke final.
Kelayakan itu dimenangi pelari Jepun, Kota Uematsu yang mencatat masa 20.96s, diikuti wakil India, Abhay Singh dengan catatan 21.11s, manakala Pengiran Aidil melengkapkan kelompok tiga pelari terbaik yang layak secara automatik.
Kejayaan itu menyaksikan Malaysia mempunyai dua wakil dalam final acara 200m, sekali gus membuka peluang untuk menambah koleksi pingat selepas Azeem menghadiahkan emas pertama negara menerusi acara 100m dengan catatan 10.17s.
Final acara 200m dijadual berlangsung pada jam 9.15 malam ini waktu Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd



![[TIDAK RASMI] PRN Johor: Samsolbari pertahan Semarang enam penggal berturut-turut [TIDAK RASMI] PRN Johor: Samsolbari pertahan Semarang enam penggal berturut-turut](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/07/11/3579340.webp)
