sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) dijangka melengkapkan pendaftaran barisan pemain tempatan dan import mereka dalam masa terdekat bagi menghadapi saingan sengit Liga Malaysia (Liga M) musim 2026/2027.
Pengendali baharu skuad itu, Nafuzi Zain kini giat membuat penilaian akhir beberapa calon pemain dengan proses itu berjalan dengan lancar dan mereka akan hadir secara berperingkat bersama pasukan.
“Mengenai tonggak import, kami perlukan pemain pertahanan dan mungkin penyerang, sekiranya tiga atau empat import berkenaan hadir akan ada yang baharu menyertai pasukan selain ada beberapa pemain import yang sedia ada pada musim sebelum ini.
“Dalam kalangan pemain import baharu berkenaan ada yang pernah bersama dengan saya sebelum ini dan ada juga yang pertama kali bersama pasukan,” ujar Nafuzi yang juga bekas pengendali skuad Penyu itu.
Mengulas lanjut, bekas pengendali skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) itu menegaskan cabaran pasukan sekarang lebih mencabar dan semakin sengit.
“Tapi kami akan bermula dari bawah dengan langkah demi langkah, pasukan yang ada sekarang sebenarnya sudah baik cuma perlu tambah baik aspek yang perlu untuk pasukan lebih stabil menghadapi saingan.
“Pada masa sama saya terima cabaran ini, namun ia memerlukan sokongan padu daripada semua pihak bagi memastikan matlamat pasukan tercapai,” katanya.
Setakat ini dua pemain import Tajikistan, Ehson Panjshanbe dan Shervoni Mabatshoev serta penyerang skuad Piala Dunia Curaçao, Gervane Kastaneer masih berbaki kontrak dengan skuad Penyu itu.
Semalam TFC mengumumkan kepulangan kali ketiga ‘arkitek’ import kelahiran Jerman, Manuel Ott selepas setahun meninggalkan pasukan itu dengan menyertai kelab Liga Thailand, Rayong FC.
© New Straits Times Press (M) Bhd




