Lebih RM5 juta dana Daya Kerjaya berjaya diselamatkan

Lebih RM5 juta dana Daya Kerjaya berjaya diselamatkan

Kuala Lumpur: Sebanyak RM5.33 juta dana Daya Kerjaya berjaya diselamatkan daripada 426 majikan yang disyaki membuat tuntutan palsu insentif itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, RM1.5 juta dana sama pula telah dikembalikan 52 majikan selepas mengaku terbabit dalam kegiatan jenayah itu.

Beliau berkata, aktiviti memalsukan dokumen tuntutan itu dihidu bahagian Anti-Fraud, Etika dan Integriti (AFEI) PERKESO pada penghujung 2024 sebelum disusuli siasatan dalaman dan risikan di lapangan.

“Maklumat risikan terperinci oleh AFEI mendapati 426 majikan disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah itu sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ogos 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammed Azman berkata, beliau kemudian mengarahkan AFEI untuk bekerjasama dengan SPRM bagi melaksanakan Ops Daya pada 9 Jun lalu.

“Keberhasilan operasi yang membongkar kegiatan tuntutan palsu ini adalah hasil pelaksanaan

tatakelola sedia ada di PERKESO, dengan dibantu kemudahan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Pada 9 Jun lalu, SPRM menahan 73 individu yang bertindak sebagai ejen serta pemilik syarikat di seluruh negara kecuali Perlis, disyaki terbabit sindiket pemalsuan tuntutan insentif Program Daya Kerjaya 2.0 melibatkan nilai kira-kira RM9 juta.

Siasatan awal mendapati kesemua mereka disyaki melakukan perbuatan tersebut antara 2024 hingga 2025, dengan membuat tuntutan palsu melibatkan bantuan penggajian daripada kerajaan sebanyak RM1,500 setiap bulan selama enam bulan untuk setiap pekerja yang diambil bekerja oleh majikan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top