FIFA jual rumput final Piala Dunia

FIFA jual rumput final Piala Dunia

New York: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dijangka meraih lebih AS$11 juta (RM46.7 juta) menerusi penjualan cebisan rumput yang digunakan pada perlawanan akhir Piala Dunia 2026, menurut laporan media Amerika Syarikat (AS).

Laporan The Athletic menyebut badan induk bola sepak dunia itu akan menjual rumput padang final dalam empat pakej cenderamata eksklusif sebaik sahaja perlawanan kemuncak berlangsung di Stadium MetLife, East Rutherford, New Jersey pada 19 Julai ini.

Jualan itu bagaimanapun hanya ditawarkan kepada pembeli di AS dan Eropah.

Pakej paling eksklusif dijual pada harga AS$3,000 (RM12,750), yang mengandungi cebisan rumput berukuran tiga inci x tiga inci, replika tiket berukir emas, replika mini bola Piala Dunia dan trofi Piala Dunia yang diperbuat daripada kristal.

Tiga lagi pakej ditawarkan pada harga AS$450 (RM1,913), AS$900 (RM3,825) dan AS$1,200 (RM5,100).

FIFA mengehadkan jualan kepada maksimum 2,026 unit bagi setiap kategori sempena edisi Piala Dunia 2026.

Menurut laporan sama, rumput yang akan digunakan pada final itu ditanam khas di sebuah ladang rumput di North Carolina sebelum dipasang di venue perlawanan.

Bagi memastikan keadaan padang seragam di semua venue, FIFA memasang padang rumput semula jadi di setiap stadium yang menjadi tuan rumah kejohanan, termasuk stadium yang kebiasaannya menggunakan permukaan tiruan seperti di Seattle, Atlanta, East Rutherford, Vancouver, Arlington dan Inglewood.

Bagaimanapun, belum ada sebarang maklumat mengenai nasib padang-padang lain yang tidak digunakan bagi perlawanan akhir.

Piala Dunia 2026 mencipta sejarah sebagai edisi pertama membabitkan 48 pasukan dengan keseluruhan 104 perlawanan berlangsung di AS, Kanada dan Mexico.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top