Liga A1 Semi Pro medan jurulatih tempatan hidupkan kerjaya

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Liga Bola Sepak Amatur (AFL) menganggap saingan Liga A1 Semi-Pro (A1) musim ini sebagai medan ‘rejuvenasi’ terbaik buat jurulatih tempatan untuk menghidupkan semula kerjaya serta membina kembali reputasi dan kredibiliti mereka.

Fenomena itu diakui Ketua Pegawai Eksekutif AFL, Raimi Fakri Md Fuad yang melihat kancah divisyen dua itu kini bertukar menjadi platform penting buat jurulatih tempatan selepas ruang dalam saingan elit Liga Super seakan semakin mengecil.

Penguasaan pengendali tempatan musim ini menyaksikan 10 jurulatih mengalas tanggungjawab bersama pasukan masing-masing.

Mereka adalah Azizul Ahmad Sabri (USM FC), Mohd Yazli Yahya (Malaysia University-UiTM), Rezal Zambery Yahya (AAK Unisel FC), S Balachandran (Imigresen FC II) dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli (Kedah FA).

Melengkapkan senarai 10 ketua jurulatih tempatan di saingan Liga A1 Semi-Pro ialah Norhafiz Zamani Misbah (Negeri Sembilan II), Noor Zaidi Rohmat (Perak FA), Asri Ninggal (UM-Damansara United), Azzmi Ab Aziz (Bunga Raya FC) serta Arulchelvan Illenggo (Selangor II).

Raimi menyifatkan kehadiran barisan pengendali ini secara tidak langsung menyaksikan saingan Liga A1 menjadi medan terpenting buat mereka membuktikan semula keupayaan demi merebut kembali kepercayaan pengurusan kelab di saingan utama.

“Mungkin sebelum ini jurulatih yang berada di Liga A1 pernah membawa pasukan Liga Super, tetapi dari segi pencapaian itu kurang menjadi.

“Jadi Liga A1 menjadi medan untuk mereka membuktikan balik keupayaan.

“Jika mereka mencapai sesuatu di saingan Liga A1, ia sudah tentu akan membuka mata semula pasukan di Liga Super untuk memanggil balik jurulatih tempatan ini berada di pentas tertinggi.

“Kalau tanya saya, ini satu platform yang bagus untuk jurulatih tempatan kita dan kita lihat memang ada nama-nama besar dan berpengalaman di pentas Liga A1 bagi musim ini,” kata Raimi.

Mengulas mengenai kebanjiran jurulatih tempatan yang mendominasi 10 daripada 14 pasukan bertanding, Raimi menjelaskan badan pengelola liga amatur itu sebenarnya tidak pernah menutup pintu buat pengendali luar.

“Tiada halangan sebenarnya untuk pasukan Liga A1 mendaftarkan jurulatih warga asing.

“Cuma kebanyakan pasukan lebih selesa mengekalkan jurulatih (tempatan) mereka yang sudah berkhidmat semenjak dari A2 mahupun A3 sebelum melangkah ke A1.

“Selain perancangan mahupun polisi yang sedia ada, bajet pasukan di Liga A1 secara puratanya adalah tidak begitu besar.

“Jadi pasukan lebih menitikberatkan kelebihan yang ada untuk fokus kepada memastikan kelangsungan pasukan terlebih dahulu.

“Tetapi jurulatih kita pun bukannya calang-calang. Walaupun bertindak atas kekangan bajet, kualiti yang ada pada jurulatih tempatan kita sebenarnya tidak kurang hebatnya untuk memimpin pasukan,” katanya.

Namun, saingan Liga A1 Semi-Pro jelas bukanlah padang latihan mudah apabila Raimi mengakui strategi jurulatih tempatan akan tetap diuji menerusi penggunaan 80 peratus tonggak tempatan serta syarat wajib mendaftarkan sekurang-kurangnya tujuh pemain berusia bawah 22 tahun (B-22).

“”Lebih 90 peratus pemain di Liga A1 adalah pemain tempatan, ada pasukan yang tidak menggunakan khidmat pemain import langsung walaupun dibenarkan.

“Mungkin ini salah satu sebab tambahan kenapa mereka lebih cenderung kepada jurulatih tempatan yang mudah untuk berinteraksi bersama pemain.

“Kita mewajibkan pendaftaran minimum tujuh pemain B-22. Kelompok pemain muda ini mungkin kurang dari segi pengalaman, tetapi mereka ada kualiti serta kelebihan lain yang boleh digilap oleh jurulatih berpengalaman.

“Jadi, antara cabaran utama untuk jurulatih di Liga A1 yang kita dapat lihat adalah bagaimana mereka menyesuaikan diri dan mengadun perkara terbabit.

“Saya percaya masing-masing mempunyai ‘ramuan’ tersendiri untuk dizahirkan oleh pasukan dalam memberikan persembahan terbaik di setiap perlawanan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top