'Segera tangani polemik sistem percukaian negara' – Radzi Jidin

'Segera tangani polemik sistem percukaian negara' – Radzi Jidin

am@hmetro.com.m

Kuala Lumpur: Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan hala tuju sistem percukaian negara susulan perbezaan pandangan yang dikatakan wujud antara gabungan politik membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Perbezaan itu membabitkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diguna pakai ketika ini, selain hasrat mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan syor menggabungkan kedua-dua sistem percukaian terbabit.

Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkata, situasi ketidaktentuan itu tidak boleh dibiarkan berlarutan yang akan memberi impak negatif kepada masyarakat pelbagai lapisan, termasuk industri dan perniagaan.

Naib Presiden BERSATU itu juga menyuarakan kekhuatiran sistem percukaian berbeza akan diperkenal kerajaan, setiap kali penggal pilihan raya baharu, jika ia digunakan sebagai modal politik, sekali gus merencatkan pembangunan negara.

Beliau juga berharap kerajaan mengambil pendekatan lebih terbuka bagi membincangkan sistem asas percukaian seperti dicadangkan, selain berkongsi data berkaitan ketika pelaksanaan GST dan SST.

“Demi masa depan negara, saya cadangkan semua parti politik bersama membincangkan sistem asas cukai terbaik. Kita ketepikan politik dan kita letakkan kepentingan rakyat, peniaga dan ekonomi negara di hadapan.

“Kita mungkin boleh mengambil pendekatan cukai di luar kebiasaan, panggillah apa nama sekalipun, paling penting semua pihak setuju dan tidak menggunakannya sebagai modal politik,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Pada Ogos lalu, kerajaan dilapor terbuka melakukan kajian keperluan menggabungkan SST dengan GST bagi menambah baik sistem percukaian negara ke arah lebih progresif.

Dalam pada itu, Radzi turut mempersoalkan peranan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mendaftarkan pelarian memandangkan Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967.

Lebih membimbangkan, katanya, kerajaan tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai 225,000 pelarian didaftarkan UNHCR, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai jaminan individu terbabit benar-benar pelarian.

“Tindakan UNHCR mendaftarkan lebih 225,000 pelarian dan menempatkan sejumlah kecil daripadanya ke negara ketiga adalah tindakan tidak adil untuk Malaysia. Ia seolah-olah meletakkan negara dalam perangkap.

“Adakah ia membabitkan pemutihan dan penapisan 225,000 pelarian dengan kad UNHCR atau nanti akan terdapat kumpulan berdaftar di bawah DPP (Dokumen Pendaftaran Pelarian) dan satu lagi yang berdaftar dengan UNHCR?

“Adakah kerajaan sudah memberi tekanan sewajarnya kepada UNHCR supaya mereka menghantar seramai mungkin pelarian didaftarkan agensi berkenaan ke negara ketiga?

“Mengapa kerajaan tidak segera menghentikan UNHCR mendaftarkan pelarian yang hendak masuk ke Malaysia? Kerajaan perlu tegas dan tidak boleh terlalu berlembut mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Radzi menyuarakan kebimbangan mengenai isu kecurian kabel yang menjejaskan perkhidmatan tren, membabitkan kerugian bernilai RM16.3 juta antara 2024 hingga Jun lalu.

“Kegiatan ini turut membabitkan sindiket terancang. Persoalannya, siapa yang membeli kabel curi ini? Berapa ramai pencuri, anggota sindiket dan pembeli kabel curi sudah didakwa dan disabitkan?

“Kita mesti menangani punca masalah, bukan sekadar terus menggantikan kabel dicuri. Bila pindaan akan dibentang dan adakah hukuman terhadap sindiket serta pembeli kabel curi turut diperkukuh?” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top