Panda Tata sasar buka 100 cawangan di Malaysia

Panda Tata sasar buka 100 cawangan di Malaysia

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Jenama makanan segera dari China, Panda Tata menyasarkan pembukaan 100 cawangan di Malaysia dalam tempoh tiga tahun menerusi model francais dengan kerjasama rakan kongsi tempatan.

Pengurus Operasinya, Daniel Leng berkata, syarikat itu merancang membuka antara 20 hingga 30 cawangan baharu tahun depan selepas membuka cawangan pertamanya di NU Sentral.

Katanya, kos pelaburan untuk meluaskan rangkaian itu dianggarkan RM1 juta bagi setiap cawangan.

“Bagaimanapun, tawaran francais kepada umum belum dibuka kerana syarikat mahu memastikan operasi cawangan pertama berjalan lancar terlebih dahulu.

“Panda Tata berpangkalan di Guangzhou, China serta mempunyai lebih 400 cawangan di negara asalnya dan memilih Malaysia sebagai pasaran antarabangsa pertama,” katanya dalam kenyataan.

Daniel berkata, syarikat itu menawarkan konsep ‘Freshly Baked Chewy Bun’ dengan roti burger diuli dan dibakar segar di premis dalam tempoh tiga minit tiga saat.

“Keistimewaan utama kami ialah burger buatan tangan serta menggunakan bahan berkualiti terbaik dan segar.

“Pelanggan boleh melihat proses penyediaan doh sehingga roti selesai dibakar dalam masa tiga minit tiga saat,” katanya.

Panda Tata menawarkan sembilan jenis burger utama, termasuk burger ayam, ikan, udang dan daging berperisa satay, selain kira-kira 10 pilihan snek.

Menurutnya, harga burger secara ala carte bermula RM13 hingga RM15, manakala hidangan set ditawarkan pada harga RM18 hingga RM25, bergantung pada pilihan menu.

Pelanggan juga boleh menikmati minuman ringan yang boleh diisi semula tanpa had.

Daniel berkata, Kuala Lumpur dipilih kerana kedudukannya yang strategik serta kemudahan pengangkutan awam, termasuk Monorel dan MRT.

Selain itu, katanya syarikat sedang membuat persiapan untuk memohon sijil halal, manakala semua bahan mentah dan produk diperoleh daripada pembekal tempatan yang memiliki sijil halal sah.

Panda Tata turut merancang menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top