SPRM giat usaha 'tanam' budaya integriti sektor korporat

SPRM giat usaha 'tanam' budaya integriti sektor korporat

anbia@hmetro.com.my

Shah Alam: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur terus mempergiat usaha memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus korporat menerusi penganjuran Bengkel Antirasuah dan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Kian Joo Group yang disertai seramai 50 peserta terdiri daripada barisan pengurusan tertinggi syarikat itu dari seluruh negara.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib berkata, komitmen kepimpinan organisasi adalah pemacu utama dalam membentuk budaya kerja yang berintegriti, selain memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta pelaksanaan tadbir urus yang berkesan.

“Pembudayaan integriti perlu diterapkan secara menyeluruh dalam setiap organisasi. Kepimpinan yang berintegriti, disokong oleh sistem kawalan dalaman yang mantap dan pematuhan kepada peruntukan undang-undang, mampu menjadi benteng terbaik dalam mencegah perlakuan rasuah serta meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan terhadap organisasi,” katanya ketika menjadi panel Forum Antirasuah yang diadakan di Box-Pak (Malaysia) Berhad, di sini, semalam.

Bengkel itu dimulakan dengan taklimat berkaitan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 mengenai liabiliti korporat, isu pemberian dan penerimaan hadiah, kesalahan mengemukakan tuntutan palsu serta langkah memperkukuh kawalan dalaman bagi mencegah perlakuan rasuah oleh Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM Kuala Lumpur, Nurnadiah Kamarudin.

Program diteruskan dengan Forum Antirasuah yang dikendalikan oleh Pegawai Cawangan PenMas SPRM Kuala Lumpur, Ahmad Nuri Muda.

Forum tersebut menampilkan Mohamad Zakkuan bersama Pengurus Besar Wilayah Tengah Kian Joo Group, Leong Sheong Lok yang membincangkan kepentingan kepimpinan berintegriti dalam memperkukuh tadbir urus organisasi, meningkatkan pematuhan serta membudayakan amalan kerja yang beretika dan bebas daripada rasuah.

Sebagai simbol komitmen Kian Joo Group dalam memperkukuh budaya integriti, program diakhiri dengan lafaz IBR yang diketuai oleh wakil syarikat, Tony dan disaksikan oleh Mohamad Zakkuan.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Kuala Lumpur, PKPj Noor Azeana Azis serta Ketua Pegawai Operasi (COO) Box-Pak (Malaysia) Berhad, Tan Beng Wah.

Penganjuran program seumpama ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SPRM dalam memperluas kerjasama strategik dengan sektor swasta bagi memperkukuh tadbir urus, meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang serta membudayakan integriti sebagai asas kepada kelestarian organisasi dan kesejahteraan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top