Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menegur Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, susulan dakwaannya yang menyifatkan kementerian itu seperti “kura-kura” dalam mengendalikan isu kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke universiti awam.
Sifatkan tindakan tak bertanggungjawab
Menerusi satu kenyataan yang dibuat, Zambry memberitahu Nga ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor itu disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab memandangkan setiap keputusan kerajaan dibuat secara kolektif di peringkat Jemaah Menteri.
Tegas beliau, segala keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri dibuat berdasarkan prinsip tanggungjawab bersama serta melalui proses penyelarasan melibatkan Kementerian Pendidikan dan agensi berkaitan sebelum dilaksanakan.
“Sekiranya terdapat sebarang perbezaan pandangan, tempat untuk membincangkannya ialah di meja Jemaah Menteri, bukannya melalui kenyataan terbuka yang tidak menghormati tatakelola mesyuarat Jemaah Menteri,” menurut kenyataan.
Nga sebelum ini dilaporkan membuat dakwaan berkenaan ketika berceramah di Kampung Abdullah, Segamat sepanjang kempen PRN Johor.
Pada 20 Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa pelajar daripada semua aliran sekolah termasuk yang menawarkan UEC diwajibkan mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia, sekali gus membuka laluan ke institusi pengajian tinggi tanpa lagi menjadi isu kontroversi.

Susulan itu, Zambry memaklumkan kerajaan akan melaksanakan penyelarasan antara Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan bagi memperincikan pelaksanaannya.
Pada 14 Mei lalu, Kementerian Pendidikan Tinggi turut mengumumkan bahawa lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) atau UEC berpeluang mengikuti program tertentu di institusi pengajian tinggi awam.
Dua hari kemudian, Anwar sekali lagi menegaskan bahawa keputusan membenarkan lulusan UEC melanjutkan pengajian ke universiti awam tidak sepatutnya dipolitikkan.





