Haiza mahu Benut maju, Ronnie Hussein harap kesinambungan kerajaan

Haiza mahu Benut maju, Ronnie Hussein harap kesinambungan kerajaan

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi dan penyampai radio Kool FM, Haiza Hanafi, 46, menzahirkan harapan tinggi agar wakil rakyat yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini mampu membawa perubahan serta kemajuan yang lebih menyeluruh buat penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut.

Anak jati kelahiran Benut itu berkata, walaupun kemudahan asas di kawasan berkenaan sudah jauh lebih baik berbanding dahulu, namun pembaharuan yang berterusan amat diperlukan agar penduduk setempat tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.

“Sebelum ini segala kemudahan yang tiada di Benut, Alhamdulillah semuanya sudah ada termasuk mesin ATM dan cawangan bank. Namun, kita perlukan lebih lagi supaya penduduk di sini tidak terus ketinggalan.

“Sebagai contoh, kita harapkan selepas ini urusan-urusan pentadbiran kerajaan yang asas dapat diselesaikan di Benut sahaja tanpa perlu penduduk bersusah payah keluar jauh ke Pontian atau Johor Bahru.

“Sekurang-kurangnya jika ada kaunter agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau kaunter bergerak disediakan di sini, ia sudah memadai,” katanya kepada Harian Metro.

Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin hadir menunaikan kewajipan mengundi di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tanjung, Benut.

Dia yang tiba di kampung halamannya sejak semalam bagi mengelakkan kesesakan jalan raya, turut menemani bapa tercinta yang berusia 89 tahun untuk mengundi di pusat pengundian yang sama.

Mengulas lanjut mengenai harapannya terhadap landskap sosial di tempat kelahirannya itu, Haiza menekankan kepentingan penganjuran program-program komuniti secara berkala buat masyarakat setempat bagi membuka mata masyarakat luar.

“Selain isu prasarana, saya juga berharap lebih banyak program kesedaran, kempen kesihatan seperti pencegahan demam denggi, dan program penampilan diri dianjurkan untuk warga Benut.

“Kita tidak mahu ada tanggapan bahawa program-program berkualiti seperti ini tidak perlu untuk orang kampung. Kita mahu tunjukkan kepada orang luar bahawa walaupun kami tinggal di kampung, penduduk di sini tetap mempunyai kelas yang tersendiri,” katanya.

Sementara itu, penyanyi, Ronnie Hussein yang akan menjalankan tanggungjawabnya di DUN Kota Iskandar berharap agar kemajuan dapat diteruskan oleh parti yang memerintah.

“Harapan saya, semoga kerajaan yang sedia ada sekarang dapat kekal agar mereka dapat menyambung lagi usaha dan kemajuan yang sudah mereka bawa selama empat tahun ini di samping manifesto lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top