PENGADIL Perancis, Clement Turpin yang pernah tular kerana dikatakan memiliki wajah seiras bintang Arsenal, Leandro Trossard bakal mengendalikan aksi suku akhir Piala Dunia 2026 antara England dan Norway.
Turpin, 44, menjadi perhatian peminat bola sepak selepas gambarnya sering dibandingkan dengan penyerang Belgium itu gara-gara persamaan raut wajah, sehingga ada yang menggelarnya sebagai ‘kembar’ Trossard.
Namun, di sebalik perhatian luar padang itu, Turpin memiliki pengalaman luas di pentas tertinggi apabila dipilih mengadili pertemuan penting England dan Norway pada Ahad (5 pagi waktu Malaysia).
Beliau sebelum ini pernah menjadi sasaran kritikan keras jurulatih England, Thomas Tuchel ketika mengendalikan aksi Liga Juara-Juara 2023 membabitkan Bayern Munich dan Manchester City.
Tuchel ketika itu memberikan penilaian hanya 1/10 terhadap prestasi Turpin selepas Bayern tersingkir di tangan pasukan kendalian Pep Guardiola.
Bagaimanapun, Turpin memiliki rekod baik bersama England selepas mengadili kemenangan 4-2 Three Lions ke atas Croatia pada Piala Dunia kali ini, selain pernah mengendalikan aksi mereka ketika Euro 2024.
Turpin juga antara pengadil yang kurang mengeluarkan kad dalam kejohanan kali ini apabila hanya melayangkan tujuh kad kuning dalam tiga perlawanan.
Namun beberapa tonggak England seperti Declan Rice, Jude Bellingham, Marc Guehi dan Nico O’Reilly perlu berhati-hati kerana berdepan risiko digantung aksi separuh akhir jika menerima kad kuning.



