Johor Bahru: Hanya kerana terlewat seminit, seorang lelaki berusia 57 tahun kecewa apabila gagal menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 hari ini selepas memandu sejauh 120 kilometer dari Sri Medan, Batu Pahat ke Larkin di sini.
Rahmat Shukor yang bekerja sendiri, berkata, beliau kecewa dan sedih kerana gagal menunaikan haknya sebagai pemilih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin ekoran tersangkut dalam kesesakan lalu lintas yang teruk.
Katanya meskipun memandu tanpa henti dari Batu Pahat ke Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Foon Yew 4 di sini untuk mengundi, perjalanannya terganggu akibat kesesakan luar biasa bermula dari kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Simpang Renggam menuju ke Sedenak.
“Saya jauh dari Batu Pahat, bukan dari sini. Jalan sesak, saya ada gambar, saya telah beritahu, ada bukti yang kita tersangkut kesesakan lalu lintas,” katanya ketika ditemui Bernama di luar pusat pengundian di sini hari ini.
Rahmat berkata walaupun telah mencuba pelbagai jalan alternatif bagi mengelakkan kesesakan di laluan utama Skudai, nasib ternyata tidak menyebelahinya apabila beliau hanya tiba sejurus selepas pusat mengundi ditutup secara rasmi.
Menceritakan punca kelewatannya, Rahmat berkata beliau sepatutnya pulang ke Johor Bahru semalam, namun memilih untuk bermalam di rumah peninggalan ibunya di Sri Medan akibat keletihan melampau selepas melakukan kerja-kerja perkebunan dan kontrak.
Katanya, semua ahli keluarga yang lain termasuk isterinya telah pulang lebih awal pada Jumaat dan sempat menunaikan tanggungjawab mereka, menjadikannya satu-satunya individu dalam keluarga yang terlepas peluang itu.
Meskipun terkilan, Rahmat berkata beliau reda dengan situasi berkenaan dan tetap berharap agar proses demokrasi tersebut berjalan dengan lancar.
Proses pengundian bagi PRN Johor ke-16 tamat secara rasmi selepas kesemua 1,076 pusat mengundi di seluruh negeri ditutup tepat 6 petang tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




