Miami: FIFA menegaskan tiada bukti menunjukkan bola terkena kabel kamera sebelum Jude Bellingham menjaringkan gol penyamaan ketika England menewaskan Norway 2-1 dalam masa tambahan pada suku akhir Piala Dunia, awal pagi tadi.
Pemain Norway membantah jaringan Bellingham yang hadir pada masa kecederaan babak pertama di Stadium Miami selepas mendakwa bola terkena kabel kamera ketika gerakan itu bermula.
Rakaman ulang tayang menunjukkan sepakan gol penjaga gol Norway, Orjan Nyland, kelihatan berubah arah secara tiba-tiba sebelum jatuh ke laluan pemain tengah England, Elliot Anderson.
Mengikut Undang-undang Permainan, jika bola terkena objek luar seperti kabel kamera, pengadil sepatutnya menghentikan permainan dan memberikan jatuhan bola (drop ball).
Bagaimanapun, FIFA menjelaskan teknologi cip pengesan yang dipasang dalam bola rasmi kejohanan mengesahkan tiada sentuhan dengan kabel.
“Ketika gerakan sebelum gol England pada minit ke-45+2 menentang Norway, pengesan dalam Connected Ball tidak merekodkan sebarang lonjakan pada ‘degupan jantung bola’ ketika bola berada di udara.
“Justeru, tiada bukti bahawa bola menyentuh kabel di atas padang sehingga mengubah pergerakannya,” menurut kenyataan FIFA.
Teknologi sama sebelum ini digunakan untuk membatalkan satu jaringan Croatia ketika tewas kepada Portugal pada pusingan kalah mati kejohanan ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




