syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Penyanyi, Amir Masdi, 29, mengakui tidak berasa tertekan biarpun hasrat ibunya yang mahu melihat dia menamatkan zaman bujang pada usia 30 tahun seakan-akan tidak kesampaian.
Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi berkata, dia bakal menginjak ke usia 30 tahun pada Oktober depan, namun sehingga kini hatinya masih belum dimiliki oleh mana-mana wanita.
“Mak pernah cakap kalau boleh nak saya berkahwin pada usia 30 tahun. Cuma, nak capai sasaran itu macam tak sempat sebab sehingga kini saya belum mempunyai calon lagi.
“Bagaimanapun, mak bukan jenis yang mendesak sampai nak carikan calon. Keluarga saya bukan begitu. Mak kata ikut sayalah, kalau ada, ada. Kalau tak ada lagi, tak apa boleh tunggu,” katanya kepada Harian Metro.
Amir ketika ditemui pada majlis Muzik Lab: Hab Kreatif Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) yang berlangsung di McDonald’s Pantai Sentral Park berkata, faktor kesibukan dengan jadual kerja yang padat berkemungkinan menjadi punca dia tidak mempunyai waktu untuk memikirkan soal jodoh.
Malah, penyanyi lagu Nurcinta ini turut mengakui dia sudah hampir enam tahun tidak melalui fasa bercinta dan menyifatkan dirinya sebagai seorang yang kurang mahir dalam mendekati golongan hawa.
“Saya rasa betul, kesibukan kerja membuatkan saya tak fikir pasal nak mengenali sesiapa. Fasa bercakap dengan perempuan pun memang tak ada lagi, setakat ini.
“Saya juga tak pasti jika ada mana-mana wanita yang ‘mencuba’ untuk dekati saya. Saya jenis tak pandai kesan jika ada yang cuba memberi bayangan (hint). Kalau suka, kena cakap terus.
“Tapi bukanlah bermakna bila dia kata dia suka saya, saya terus setuju begitu sahaja. Beritahu suka saya, kemudian barulah kita mula kenal-kenal,” katanya.
Ditanya mengenai ciri-ciri wanita idaman yang mampu mencuri hatinya, Amir menjelaskan dia tidak meletakkan kriteria yang terlalu rumit melainkan personaliti yang menyenangkan.
“Orang mana (asal usul) saya tak kisah, cuma saya sukakan wanita yang tenang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




